Keperluan pegawai kerja sosial diberi perhatian
Utusan Online
JOHOR BAHRU 22 Mei - Kementerian Kesihatan akan berusaha memenuhi segala keperluan pegawai kerja sosial perubatan agar perkhidmatan yang diberi berjalan lancar.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Rashid Shirlin berkata, antara masalah yang diberi perhatian utama kementerian ialah isu kekurangan pegawai, bidang tugas dan skop yang semakin bertambah.
Menurutnya, kementerian sedar pegawai kerja sosial perubatan memainkan peranan penting bagi membantu para pesakit menyesuaikan diri dengan keadaan baru akibat penyakit yang dialami.
"Profesion pegawai kerja sosial perubatan sedang mengalami perkembangan positif dan kini kira-kira 200 pegawai yang bekerja di beberapa buah hospital.
"Ini menggambarkan bahawa profesion itu turut membantu kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik," katanya pada majlis Persidangan Pegawai Kerja Sosial Perubatan Malaysia Ke-13 di sini hari ini.
Rosnah yang turut melancarkan buku garis panduan laporan sosio ekonomi perkhidmatan kerja sosial perubatan berkata, sejajar dengan itu pegawai kerja sosial perubatan perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran.
Katanya, peningkatan ilmu serta kemahiran dalam membuat penilaian sosio ekonomi di kalangan pegawai kerja sosial perlu bagi menangani masalah sosial yang dihadapi pesakit.
"Kemahiran ini penting bagi memastikan pesakit yang dirujuk mendapat perkhidmatan sewajarnya. Lagi pun akhir-akhir ini kos perubatan semakin meningkat ekoran krisis ekonomi global," katanya.
Katanya, pegawai kerja sosial bukan saja membantu pesakit miskin, malah turut membantu kementerian mengurangkan kos bantuan pesakit dengan menjana dana menerusi pelbagai aktiviti.
Pada majlis itu Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultan Ismail dan Hospital Batu Pahat menyerahkan sumbangan hasil keuntungan daripada kedai runcit yang terdapat di hospital masing-masing.
2 comments:
saya graduan pengurusan kerja sosial tahun 2006.xda jawatan kosong ke untuk jawatan pegawai kerja sosial perubatan.sya juga pernah menjalani praktikum di hospital.
Apakah ruang dan peluang bagi bekas pelajar kursus ini.
Post a Comment