06 February 2009

Syor ibu mengandung diberi cuti lebih awal

Berita Harian

SAYA adalah seorang penjawat awam dan kini mengandung anak kedua hampir 38 minggu. Saya masih lagi bekerja dan saya pasti ramai penjawat awam wanita yang pernah mengandung juga pernah merasai apa yang saya rasa ketika ini.

Mujur saya mendapat majikan yang memahami keadaan saya ketika ini. Saya berpendapat cuti bersalin 60 hari yang diberi kerajaan sememangnya sudah mencukupi bagi kami penjawat awam wanita.

Namun, kami harap kerajaan mengkaji semula permulaan cuti boleh diambil. Pada masa ini, kerajaan mengamalkan cuti bersalin bermula daripada tarikh si ibu melahirkan anak sehingga tamat 60 hari.

Pendapat saya, penjawat wanita boleh diberi pilihan untuk mengambil cuti bersalin ini dalam tempoh 60 hari diberikan. Mungkin ada di antara kami yang memilih untuk berehat atau bersalin di kampung masing-masing dan mengambil cuti seminggu lebih awal daripada tarikh jangkaan melahirkan anak.

Justeru, kami boleh memilih untuk mengambil 10 hari daripada cuti bersalin sebelum tarikh jangkaan dan selepas melahirkan anak menyambung baki cuti bersalin yang ada sehingga genap 60 hari sebelum kembali bertugas seperti biasa.

Saya pasti ramai penjawat awam wanita bersetuju kerana memang agak sukar kami mengambil cuti rehat sedia ada selama 10 hari terutama pada awal tahun kerana bimbang terpaksa mengambil cuti ketika anak tidak sihat kelak atau dalam hal kecemasan.

Saya berharap pendapat saya ini mendapat perhatian pihak kerajaan sewajarnya, demi keprihatinan kerajaan terhadap penjawat awam wanita yang bergelar ibu.

PENJAWAT AWAM WANITA,

Setapak, Kuala Lumpur.

No comments: