06 February 2009

Cuepacs Gesa Kerajaan Mansuh Pelantikan Pekerja Kontrak

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan supaya memansuhkan pelantikan pekerja kontrak dalam sektor awam kerana pelantikan pekerja kontrak menjejaskan imej perkhidmatan awam.

"Pemansuhan perlu dilakukan selewat-lewatnya akhir tahun ini dan menjelang 2010 tiada lagi pekerja kontrak dalam sektor awam," kata Presiden Cuepacs Omar Osman di sini, Jumaat.

Katanya pekerja kontrak sedia ada perlu diserapkan sebagai pekerja tetap di dalam jabatan dan agensi yang berkenaan.

Sementara itu, Omar berkata lebih 99 peratus kakitangan awam yang telah memilih skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mahu bertukar kepada skim pencen.

"Kakitangan awam yang mahu menukar kembali kepada skim pencen meliputi semua peringkat pekerjaan di sektor awam," katanya.

Sementara itu, beliau berkata hasil kajian terhadap penambahbaikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) akan diumumkan pada 27 Feb ini.

-- BERNAMA

No comments: