06 February 2009

Datuk Poziah Dilantik Timbalan Ketua Pengarah Penerangan

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Bekas Pegawai Perhubungan Awam Kanan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Poziah Abdul Rahman dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Penerangan berkuatkuasa 16 Jan lepas.

Beliau mengisi jawatan yang baru diwujudkan, menurut kenyataan jabatan itu hari ini.

Poziah, 55, menyertai perkhidmatan awam sebagai penolong pegawai penerbitan di Kementerian Pertanian pada 1977 dan memasuki perkhidmatan penerangan tiga tahun selepas itu.

Beliau dilantik sebagai setiausaha akhbar Menteri Kebajikan Masyarakat Tan Sri Aishah Abdul Ghani dan seterusnya mengumpul pengalaman dalam bidang perhubungan awam kerajaan dengan menjadi Ketua Unit Perhubungan Awam di Kementerian Pelajaran, Kementerian Perusahaan Awam, Kementerian Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan.

Poziah berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Awam Kanan Timbalan Perdana Menteri pada 2004 hingga tahun lepas.

Poziah berkelulusan sarjana dalam bidang komunikasi korporat dan merupakan pengamal perhubungan awam yang diakreditasikan APR.

Atas pengalaman dan jasanya dalam bidang perhubungan awam kerajaan, beliau dikurniakan Anugerah Pengurusan Media dan Perhubungan Awam terbaik Kementerian Penerangan pada 2005.

-- BERNAMA

No comments: