23 December 2008

Bayaran tunai ganti baki cuti

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Mulai tahun depan, kira-kira 50,000 kakitangan kerajaan yang bekerja secara kontrak layak menerima bayaran tunai sebagai ganti baki cuti apabila tempoh perjanjian kontrak masing-masing tamat.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata berdasarkan kaedah yang diamal pakai sebelum ini, kakitangan kontrak dalam sektor awam akan kehilangan cuti terkumpul dan dikira lupus apabila kontrak masing-masing tamat.

"Syarat baru ini akan menjadi sebahagian daripada semua perjanjian perkhidmatan kontrak yang bakal ditawarkan mulai awal tahun depan.

"Bagi memenuhi kriteria kelayakan ini, kakitangan awam lantikan kontrak itu harus sudah berkhidmat tidak kurang daripada setahun," katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, tegas beliau, mereka yang dipecat oleh kerajaan kerana tidak mematuhi arahan pihak atasan atau melanggar peruntukan Akta Rahsia Rasmi tidak layak mendapat keistimewaan terbabit.

Selain itu, mereka yang melakukan kesalahan jenayah, mengingkari kontrak perkhidmatan, dipecat oleh jawatankuasa disiplin atau meletak jawatan secara sukarela, juga tidak layak mendapat bayaran terbabit.

No comments: