22 December 2008

Gaji rendah punca pakar enggan kembali

Utusan Online

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Gaji yang rendah menjadi punca utama ramai golongan cendekiawan, ahli akademik dan pakar sains memilih untuk berkhidmat di luar negara.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandiah berkata, kerajaan boleh menarik mereka berkhidmat di negara sendiri jika ditawarkan gaji yang lumayan.

"Lazimnya pendapatan di luar negara jauh lebih tinggi berbanding pendapatan di sini, jadi tidak hairanlah kenapa mereka sanggup ke luar negara untuk mencari pekerjaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan Mingguan Malaysia mengenai rancangan kerajaan memanggil balik golongan cendekiawan, ahli akademik dan pakar sains di luar negara yang diberhentikan kerja ekoran kegawatan ekonomi dunia.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan akan menawarkan kemudahan dan imbuhan menarik untuk mereka berkhidmat terutama dalam bidang-bidang yang negara kekurangan pakar.

Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr. Zainal Kling turut bersetuju kebanyakan mereka yang bekerja di luar negara didorong oleh faktor gaji yang tinggi.

"Tawaran gaji yang lumayan memang tidak boleh disangkal lagi tetapi kerajaan boleh membawa mereka balik untuk bekerja di sini jika ditawarkan insentif menarik sama seperti ditawarkan di luar negara," katanya.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Dr. Abu Hassan Hasbullah berkata, sistem pendidikan di luar negara tidak mempunyai banyak krisis politik berbanding di negara ini.

"Kebanyakan golongan profesional di luar negara mahu balik ke Malaysia namun disebabkan sistem pendidikan yang beginilah, menyebabkan mereka tidak mahu pulang.

"Budaya seperti kronisme menyebabkan mereka tidak berani pulang ke Malaysia kerana takut intelektual mereka akan hilang," katanya.

No comments: