22 December 2008

Doktor tajaan kerajaan harus pulang berkhidmat

Utusan Online

KANGAR 21 Dis. – Pelajar dan doktor perubatan yang mendapat biasiswa atau tajaan daripada kerajaan harus pulang ke tanah air untuk berkhidmat tanpa perlu meminta sebarang keistimewaan mahupun gaji yang lebih tinggi.

Presiden Alumni Doktor Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Haron Ahmad berkata, kepulangan mereka ke tanah air adalah tugas dan janji yang perlu ditunaikan selepas menerima bantuan kerajaan sepanjang mengikut pengajian di luar negara.

Katanya, pakar yang berkhidmat di luar negara tidak perlu dipujuk untuk pulang sebaliknya menjadi tanggungjawab mereka sendiri untuk berbakti kepada negara.

“Dalam hal ini, gaji bukan alasan utama untuk pulang kerana mereka perlu faham apabila mendapat tajaan daripada kerajaan seharusnya mereka balik untuk berkhidmat dengan kerajaan bukan meminta gaji yang lebih dan pelbagai keistimewaan lain.

“Mereka juga tidak boleh samakan gaji di luar negara dengan mengambil kira nilai tukaran wang sebagai alasan kerana taraf hidup di sini dan luar negara berbeza sama sekali,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai keengganan pelajar perubatan dan pakar di luar negara untuk pulang berkhidmat di negara ini selepas tamat pengajian sehingga negara mengalami kekurangan pakar.

Dr. Haron yang juga Presiden Persatuan Lawan Pedang Amatur Perlis (PEAFA) berpendapat, negara tidak mengalami kekurangan pakar, sebaliknya ramai golongan itu yang tertumpu di kawasan bandar dan ‘berhijrah’ ke sektor swasta.

No comments: