26 August 2008

Bersedia terima maklum balas

Utusan Online

PIHAK Berkuasa Tempatan (PBT) merupakan satu lapisan kerajaan yang amat penting di negara kita.

Memandangkan kepada peranan penting yang dimainkan oleh PBT dalam memberi pelbagai jenis khidmat kepada masyarakat, kepuasan penduduk harus dijadikan matlamat akhir setiap pihak berkuasa tempatan.

Oleh kerana tindakan dan keputusan yang dibuat oleh PBT boleh memberi kesan kepada orang ramai, maka adalah tepat pada masanya satu mekanisme diperkenalkan untuk mengukur pandangan orang ramai terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan tersebut.

Dalam hubungan ini, saya mencadangkan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperkenalkan Indeks Kepuasan Hati Penduduk (IKHP) untuk mengukur pandangan orang ramai terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan.

Apabila pihak berkuasa tempatan mengambil peranan penting di dalam penyediaan perkhidmatan, mereka perlu mempunyai keupayaan untuk menghadapi pelbagai isu dan mendapatkan maklum balas dengan cepat dan efektif terhadap keperluan dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Dilihat sebagai badan kerajaan yang terendah, PBT sepatutnya dilihat sebagai yang tertinggi dari segi penyediaan perkhidmatan dan keperluan masyarakat.

Sekiranya pihak berkuasa tempatan ingin berfungsi dengan efektif, mereka perlu bersedia menerima pandangan dan maklum balas pihak awam.

Penglibatan rakyat di peringkat akar umbi dan maklum balas mereka adalah kunci utama kepada urus tadbir yang baik.

Ini amat penting terutama kerana kita belum mempunyai pihak berkuasa tempatan yang dipilih oleh rakyat. Kecuali terdapat penglibatan masyarakat pihak berkuasa tempatan tidak akan berfungsi dengan berkesan.

Indeks Kepuasan Hati Penduduk yang dicadangkan untuk mengukur maklum balas awam kepada perkhidmatan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan adalah satu langkah positif untuk menggalakkan penglibatan orang ramai di dalam kerajaan tempatan.

Kepentingan awam dapat dilindungi dengan lebih baik apabila semua pihak berkuasa tempatan memperbaiki mutu dan kualiti perkhidmatan mereka dengan menangani aduan yang disampaikan oleh orang ramai atau melalui pihak media.

Pihak berkuasa tempatan haruslah sentiasa prihatin terhadap aduan atau cadangan dan mengambil langkah untuk menyelesaikannya.

Semua pihak berkuasa tempatan dan sektor awam keseluruhannya mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk menerapkan etika kerja dan nilai murni di dalam organisasi masing-masing.

Kakitangan awam di dalam semua kerajaan tempatan mesti bangunkan satu budaya yang akan membantu untuk mewujudkan bukan sahaja satu badan kerajaan tempatan yang dedikasi, efisyen, telus dan beretika tetapi juga yang menekankan kepada integriti pengurusan.

Untuk mencapai objektif ini, satu budaya kerja yang berasakan ketelusan, kepercayaan, efisien dan berdisiplin adalah perlu.

Semua jabatan di dalam kerajaan tempatan perlu bekerja keras untuk mencapai tahap aduan sifar di dalam usaha untuk menggalakkan dan meningkatkan nilai terbaik di dalam pihak berkuasa tempatan.

Usaha berterusan perlu dibuat untuk menerapkan integriti dan nilai etika di kalangan semua kakitangan pihak berkuasa tempatan supaya mereka dapat memberikan perkhidmatan cemerlang untuk memenuhi harapan orang ramai.

TAN SRI LEE LAM THYE

Kuala Lumpur

No comments: