28 August 2008

Uda Holdings beri Cola kepada kakitangan

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kakitangan UDA Holdings akan menerima elaun sara hidup (Cola) RM300 kepada kakitangan bukan eksekutif dan RM150 bagi kakitangan eksekutif berkuatkuasa 1 Ogos lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, berkata dengan pemberian Cola itu, diharap mereka dapat meningkatkan mutu perkhidmatan masing-masing.

“Mudah-mudahan dengan insentif ini dapat memberi galakan kepada kakitangan UDA untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti,” katanya merasmikan Majlis Perhimpunan Kemerdekaan warga UDA Holdings di sini, hari ini.

UDA ditubuhkan pada 12 November 1971 dan diberi tanggungjawab merancang pembangunan bandar.

Selepas kejayaan 29 tahun, UDA dikorporatkan pada 1 September 1996 dan menjadi UDA Holdings Berhad.

Noh berharap UDA akan menjadi pemaju hartanah yang terkemuka dan dalam masa yang sama mendukung visi kerajaan untuk menjayakan agenda memacu ekonomi bumiputera di bandar.

Beliau mahu warga kerja UDA agar memperkemaskan diri dan minda dalam menghadapi cabaran global serta memperkasakan jati diri supaya erti kemerdekaan sebenar dapat dihayati. - Bernama

No comments: