26 August 2008

Penjawat awam keliru kiraan potong zakat

Berita Harian

BARU-BARU ini, penjawat awam di Kedah menerima surat potongan gaji bagi zakat pendapatan tahunan. Di dalam surat itu dinyatakan bahawa kadar zakat yang dikenakan adalah 2.5 peratus daripada pendapatan bersih yang diperoleh.

Pendapatan bersih itu pula dikira berdasarkan gaji pokok yang kemudiannya ditolak dengan perbelanjaan diri sendiri sebanyak RM8,000, tanggungan untuk isteri sebanyak RM3,000 dan anak untuk setiap seorang sebanyak RM800.

Ini memberikan anggaran lebih kurang RM50 hingga RM100 sebulan ditolak dari gaji penjawat awam secara puratanya. Apa yang menyebabkan saya keliru ialah cara pendapatan bersih itu dikira. Pihak berkenaan, tidak mengambil kira beban tanggungan wanita. Kini ramai wanita yang menanggung perbelanjaan keluarga disebabkan pendapatan suami kurang.

Ada ramai juga wanita yang menanggung perbelanjaan ibu bapa dan adik mereka yang masih belajar. Pada masa sama, pendapatan bersih itu turut tidak mengambil kira beban tanggungan hutang seseorang untuk keperluan asas seperti pembelian rumah dan kereta.

Setiap orang pastinya ingin menunaikan zakat berkenaan tetapi janganlah sampai membebankan pembayar zakat seperti dilaksanakan sekarang.

Bagaimana saya dapat membayar jumlah zakat yang dikira berdasarkan formula di atas sedangkan jumlah sebenar pendapatan bersih saya jauh lebih kecil dan banyak lagi hutang sampingan yang perlu saya jelaskan dalam masa yang sama.
Apa yang saya faham melalui pengiraan zakat di atas adalah lelaki berumahtangga akan membayar zakat kurang berbanding wanita yang belum berumahtangga atau wanita berumahtangga tetapi belum mempunyai anak lagi bagi mereka yang mempunyai gaji pokok sama.

Saya berharap Pejabat Zakat Kedah dapat memberi penjelasan lanjut berhubung potongan gaji bagi zakat pendapatan yang dilaksanakan di Kedah.

WANITA KELIRU,
Baling, Kedah.

No comments: