24 March 2008

Pegawai Wisma Putra harus kuasai bahasa utama dunia

Berita Harian

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, semalam meminta semua pegawai Wisma Putra meningkatkan penguasaan dalam pelbagai bahasa utama dunia, terutama Bahasa Inggeris.

Rais yang pernah menjadi Menteri Luar pada 1987 berkata, penguasaan bahasa pelbagai asing akan memberi kelebihan kepada pegawai diplomatik terbabit ketika mengadakan rundingan.

"Negara seperti India, China, Britain dan Amerika Syarikat mempunyai pegawai diplomat yang berkebolehan luar biasa berkaitan penggunaan bahasa antarabangsa dan perundingan.

"Bukan hanya Bahasa Inggeris yang patut kita tekankan, tapi bahasa seperti Mandarin untuk hubungan di Asia," katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat pertama dengan pegawai kementerian di Wisma Putra di sini, hari ini.

Hadir sama dalam mesyuarat yang berlangsung lebih dua jam itu ialah Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd Isa.

Rais, berkata beliau juga akan memastikan Wisma Putra terus memainkan peranan penting dalam usaha mengeratkan hubungan diplomatik dan perdagangan dua hala antara Malaysia dengan negara serantau.

Katanya, penekanan khusus akan diberikan kepada usaha meningkat pencapaian hubungan diplomasi Malaysia dengan negara lain.

"Apa yang penting bagi Kementerian Luar ialah mengeratkan hubungan Malaysia dengan Asean terlebih dulu dengan mencari keutamaan terpenting secara diplomasi.

"Oleh kerana Asean mempunyai identiti tersendiri, hubungan kita perlu berlandaskan kepentingan bersama," katanya.

Rais berkata, Wisma Putra juga akan meneliti semula peranan 104 pejabat kedutaan Malaysia di luar negara, terutama di negara Asean, bagi memastikan mereka dapat menterjemahkan dasar luar negara dengan tepat.

"Kita harus memastikan Kementerian Luar, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Pelancongan harus bekerjasama untuk mencapai matlamat bersama untuk memajukan Malaysia," katanya.

No comments: