27 March 2008

Mohamad Zabidi dilantik SUK Perlis

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan), Kementerian Kesihatan, Mohamad Zabidi Zainal dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Perlis menggantikan Datuk Ismail Osman berkuat kuasa serta merta mulai semalam.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan dalam satu kenyataan media di sini, semalam, berkata Mohamad Zabidi yang sudah berkhidmat hampir 27 tahun menggantikan Ismail yang dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 24 Mac lalu.

Mohamad Zabidi, berkelulusan Sarjana Pentadbiran Awam dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Asia Tenggara daripada Universiti Malaya (UM) mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran awam pada peringkat negeri dan pengurusan sumber manusia pada peringkat persekutuan menerusi kariernya di dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD).

Antara jawatan pernah disandang sebelum dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Perlis ialah Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Alor Gajah, Melaka; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Latihan JPA; Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Organisasi JPA; dan Pengarah Unit ISO 9000, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Sumber Malaysia (MAMPU).

No comments: