27 March 2008

14 klinik kerajaan dibuka sehingga 9.30 malam

Utusan Online

PUTRAJAYA 26 Mac – Kementerian Kesihatan hari ini memanjangkan waktu perkhidmatan 14 buah klinik kerajaan sehingga pukul 9.30 malam untuk memudahkan pesakit mendapatkan rawatan selepas waktu pejabat.

Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, selaras dengan pelaksanaannya, kerajaan bersetuju meningkatkan bayaran insentif selepas waktu pejabat untuk semua pegawai perubatan klinik-klinik berkenaan kepada RM80 sejam berbanding RM30 sebelum ini.

“Buat permulaan, 14 klinik iaitu di Alor Setar, Green Town (Ipoh), Anika (Klang), Selayang Baru, Seremban, Peringgit (Melaka), Mahmoodiah (Johor Bahru), Bandar Maharani (Muar), Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bahru, Kuching, Sandakan dan Putrajaya telah dikenal pasti untuk melaksanakan dasar ini.

“Ini bermakna klnik-klinik ini akan beroperasi sehingga 9.30 malam pada Isnin hingga Jumaat dan sehingga 12 tengah hari pada Sabtu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kata beliau, lebih banyak klinik akan dipanjangkan waktu operasi sekiranya 14 buah klinik kesihatan perintis tersebut mendapat kunjungan yang tinggi pada waktu luar pejabat iaitu selepas pukul 5.30 petang.

Tiong Lai berkata, Kementerian Kesihatan memperuntukkan perbelanjaan tambahan sebanyak RM12.3 juta untuk menjayakan projek itu termasuk membayar insentif tambahan kepada pegawai perubatan terbabit.

“Pelaksanaan dasar ini dapat mengurangkan beban kerja di unit kecemasan hospital dan membolehkan pegawai perubatan memberi perkhidmatan yang lebih efektif kepada pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan.

“Selain itu, pegawai yang terlibat akan berasa lebih bermotivasi untuk berkhidmat dan seterusnya memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada pesakit dan rakyat,” katanya.

Menurut Tiong Lai, dasar itu bagaimanapun bukan sesuatu yang baru kerana Kementerian Kesihatan sebelum ini telah melaksanakan dasar seumpama itu di unit kemalangan dan kecemasan di 33 hospital kerajaan.

No comments: