Elaun kritikal tak wajar ditarik balik
Berita Harian
TINDAKAN Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menarik balik pemberian elaun kritikal kepada kakitangan awam khususnya guru yang mengajar ketukangan di sekolah menengah teknik seluruh negara, amat menyedihkan kami. Soal penghargaan dan kebajikan kepada kami guru yang mengajar subjek amali di bengkel diketepikan dengan penarikan balik elaun kritikal itu. Kami, guru yang menjalankan amanah kerajaan mendidik anak bangsa yang bakal keluar menjadi insan berkemahiran sesuai dengan matlamat PIPP (Pelan Induk Pembangunan Pendidikan) melalui peningkatan modal insan sepatutnya terus dihargai dengan mengekalkan pemberian elaun itu.
Apakah JPA dan Kementerian Pelajaran, tidak memandang tanggungjawab yang kami pikul ketika menjalankan latihan amali di bengkel. Risiko terdedah kepada kemalangan cukup besar, dengan jumlah pelajar yang agak ramai dalam setiap sesi amali menambahkan lagi tekanan dalam mengawal pelajar. Berbanding pelajar yang belajar dalam bilik darjah untuk subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, yang gurunya juga menerima elaun kritikal sedangkan kami pula dinafikan pemberian elaun kritikal.
Bukan niat untuk mengganggu elaun kritikal yang dinikmati rakan lain, tetapi saya sekadar ingin membuat perbandingan kepentingan dan risiko. Kedua-duanya penting dan kami yang mengajar ketukangan di bengkel lebih tinggi risikonya. Kami terdedah kepada bahaya renjatan elektrik, bahaya mesin tajam dan gangguan kesihatan akibat habuk dan debu.
GURU ASPIRASI GURU,
Kamunting, Perak.
No comments:
Post a Comment