27 March 2008

Calon boleh pilih ujian PTK Mac, Ogos

Berita Harian

BAHAGIAN Pembangunan dan Penilaian Kompetensi (BPPK), Kementerian Pelajaran (KPM) ingin merujuk kepada surat 'Sumazauteam, Keningau, Sabah' yang disiarkan ruangan ini pada 17 Mac lalu, mengenai kakitangan Kementerian Pelajaran mohon duduki ujian Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

Kami ingin memaklumkan bahawa perkara yang dibangkitkan penulis mengenai pelaksanaan peperiksaan PTK 2007 iaitu peperiksaan pada Jun dan Ogos 2007. Tahun lalu, calon hanya dibenarkan menduduki PTK sekali saja sama ada Jun atau Ogos, ini kerana faktor berikut:

l Bilangan calon yang besar iaitu melebihi 200,000 pada setiap tahun, ia membabitkan urusan logistik yang kompleks seperti pendaftaran calon, pengurusan pembinaan item, pengurusan peperiksaan dan proses pengeluaran keputusan. Ia membabitkan lebih 1,000 pusat peperiksaan serta lebih 7,000 pengawas peperiksaan. Peperiksaan ini juga memakan masa selama lima hari meliputi 139 kertas (Umum dan Khusus).

l Kementerian membuat perancangan awal untuk menambah kekerapan PTK sebaik arahan mengenainya dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Bagaimanapun, kementerian memerlukan masa tiga hingga empat bulan untuk melaksanakan keseluruhan proses.

l Masalah tempat calon terutama di kawasan pedalaman yang menyulitkan penyampaian maklumat, masih ada sekolah di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai akses internet.

l Peperiksaan PTK hanya dapat diadakan pada musim cuti persekolahan kerana ia membabitkan penggunaan premis sekolah sebagai pusat peperiksaan serta semua guru dan kakitangan dari Gred DG41 dan ke bawah. Pelaksanaan PTK selain waktu berkenaan akan melumpuhkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah mahupun mana-mana institusi pendidikan di bawah Kementerian ini.

Pada akhir tahun pula, semua premis sekolah menjadi pusat peperiksaan bagi peperiksaan awam menyebabkan peperiksaan PTK, selain itu tidak sesuai diadakan pada Disember kerana akan mengakibatkan kelewatan pengeluaran keputusan. Oleh itu pada 2007 peperiksaan PTK hanya diadakan pada Jun dan Ogos; dan

l Keputusan PTK bagi calon yang menduduki peperiksaan pada Jun, tidak sempat dikeluarkan sebelum peperiksaan berikutnya pada Ogos. Dengan itu, calon diberi pilihan sama ada untuk menduduki PTK pada Jun atau Ogos 2007.

Bagaimana pun, mulai tahun ini, BPPK dapat mengadakan PTK lebih awal iaitu Mac dan Ogos. Oleh itu, bagi tahun ini dan seterusnya calon boleh menduduki kedua-dua sesi peperiksaan berkenaan bagi tujuan memperbaiki aras keputusan PTK mereka.

RUBAAYAH OSMAN,
Ketua Unit Perhubungan Awam,
bp Ketua Setiausaha,
Kementerian Pelajaran Malaysia,
Putrajaya.

No comments: