Ramai lagi akan ditahan
Berita Minggu
Oleh Wan Jailani Razak dan Mohd Anwar Patho Rohman
DISYAKI RASUAH: Seorang lagi pegawai kanan Jabatan Imigresen (kanan) dan adik iparnya keluar dari Mahkamah Sesyen Klang, selepas ditahan reman Badan Pencegah Rasuah, semalam. |
Sindiket visa pekerja asing babitkan kumpulan besar: BPR
GEORGETOWN: Ramai lagi dipercayai terbabit rasuah bagi mempercepatkan kelulusan visa kepada pekerja asing akan ditahan dalam tempoh terdekat.
Tindakan besar-besaran yang diambil Badan Pencegah Rasuah (BPR) ini selaras dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyelesaikan semua pembaharuan termasuk dalam sistem penyampaian awam, badan kehakiman, BPR dan polis sebelum proses peralihan kuasa dilaksanakan pada pertengahan 2010.
Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata beliau diberitahu jumlah yang terbabit dengan kegiatan sindiket berkenaan besar.
"Kita percaya masih ada saki-baki anggota yang berhubung dengan sindiket berkenaan. Kita akan jalankan siasatan dan menahan tanpa mengira pangkat serta kedudukan mereka," katanya selepas Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Kehormatan negeri sempena Hari Jadi ke-70 Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas, semalam.
Ahmad Said berkata, penahanan itu berdasarkan maklumat orang awam dan siasatan yang dijalankan agensi itu sejak empat bulan lalu.
"Semalam (kelmarin) mereka menahan beberapa orang, jadi saya rasa hari ini (semalam) mereka akan menahan beberapa orang lagi. Saya tidak mempunyai jumlah sebenarnya sekarang tetapi saya diberitahu jumlahnya besar. Jadi syabas kepada pegawai BPR," katanya.
Di Klang semalam, seorang Timbalan Ketua Pengarah berusia 54 tahun di tahan reman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah bagi mempercepatkan kelulusan visa kepada pekerja asing.
Turut direman bagi membantu kes sama ialah adik iparnya yang ditahan di Negeri Sembilan, petang kelmarin.
Kedua-dua mereka yang masing-masing berumur 54 dan 59 itu direman selama lima hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Timbalan Ketua Pengarah itu ditahan di pejabatnya di Putrajaya, kira-kira jam 3 petang kelmarin manakala adik iparnya yang dipercayai menjadi orang perantara ditahan di Negeri Sembilan, juga pada sebelah petang hari sama.
Difahamkan, pegawai kanan itu baru dilantik memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah awal tahun ini dan sebelum itu pernah berkhidmat di Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).
Kelmarin, seorang Ketua Pengarah ditahan reman empat hari oleh Mahkamah Majistret Kajang bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah bagi mempercepatkan kelulusan visa kepada pekerja asing.
Ketua jabatan bergelar 'Datuk' itu adalah antara sembilan individu berusia 35 hingga 64 tahun yang ditahan BPR sehingga kini.
No comments:
Post a Comment