13 July 2008

BPR masih perlu rujuk Peguam Negara

Utusan Online

PULAU PINANG 12 Julai - Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini menjelaskan, ia masih perlu merujuk kepada Jabatan Peguam Negara walaupun diberi kuasa penuh menyiasat dan mendakwa semua kes jenayah rasuah menerusi Bahagian Perundangan dan Pendakwaan badan itu.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan memberitahu, semua kes yang hendak dibawa ke mahkamah masih perlu menerusi Peguam Negara tetapi kini proses itu akan lebih cepat dilaksanakan.

Menurutnya, kenyataan dikeluarkan BPR semalam adalah berkaitan penempatan pegawai kanan pegawai kanan Jabatan Peguam Negara di BPR yang sudah pasti dapat membuat keputusan lebih cepat.

Katanya, sebelum ini semua kes siasatan dan pendakwaan perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara tetapi kini jabatan itu menempatkan pegawai kanannya iaitu Timbalan Pendakwa Raya (DPP) di BPR bagi mempercepatkan keputusan terhadap kes-kes yang dirujuk.

"Jangan salah faham. Apa jua proses siasatan dan pendakwaan masih melalui Jabatan Peguam Negara cuma apa yang dicadangkan oleh BPR ialah supaya sebarang keputusan dapat dipercepatkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penganugerahan darjah kebesaran bintang dan pingat kehormatan negeri Pulau Pinang sempena hari ulang tahun ke-70 Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Said dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Datuk Seri.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini yang melaporkan BPR diberi kuasa penuh menyiasat dan mendakwa semua kes jenayah rasuah menerusi Bahagian Perundangan dan Pendakwaan badan itu tanpa merujuk kepada Peguam Negara.

Menurut kenyataan semalam, BPR mengumumkan bahawa ia telah diberi kuasa menerusi DPP untuk melaporkan terus kepada Ketua Pengarahnya tanpa perlu merujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

Ahmad Said menambah, sistem yang diguna pakai ketika ini ialah semua siasatan dan pendakwaan perlu dihantar ke pejabat Jabatan Peguam Negara untuk meneliti fakta-fakta kes sebelum tindakan lanjut diambil.

Katanya, ketika ini sesetengah kes yang besar akan dibawa ke perhatian Jabatan Peguam Negara dan mengambil masa lama sebelum jabatan itu menelitinya.

"Apa yang kita hendak bincang Peguam Negara ialah supaya pegawai kanan mereka di BPR dapat membuat keputusan secara langsung dan segera," katanya lagi.

Ujarnya, perkara itu telah dibincang dengan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail dan beliau bersetuju mempercepatkan keputusan kes-kes dikemukakan oleh BPR.

Menurutnya, pihak Jabatan Peguam Negara juga menyatakan kesediaan meletakkan pegawai-pegawai atau DPP yang paling kanan dan berpengalaman untuk ditempatkan di BPR bagi menyegerakan keputusan terhadap siasatan sebarang kes.

No comments: