Rela dinaik taraf jadi sebuah jabatan
Utusan Online
SUNGAI PETANI 15 Julai - Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) yang kini melaksanakan tugas penting membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) akan dinaik taraf menjadi sebuah jabatan penuh dalam tempoh dua bulan lagi.
Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni berkata, kertas kerja bagi menaik taraf Rela yang kini berstatus Bahagian dalam Kementerian Dalam Negeri akan dibentangkan ke Kabinet untuk kelulusan tidak lama lagi.
Katanya, usaha tersebut dianggap penting bagi memastikan fungsi Rela terus diperkasakan dan seterusnya meningkatkan lagi keupayaan badan berkenaan dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara.
''Berdasarkan perkembangan semasa, tugas dan fungsi anggota Rela telah bertambah. Oleh itu, kerajaan merasakan bahawa Rela selepas ini harus berfungsi sebagai sebuah jabatan.
''Semua proses ke arah tersebut kini sedang berjalan dan ia meliputi usaha menggubal satu rang undang-undang khusus. Kita jangka ia mengambil masa selewat-lewatnya dua bulan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup dan penyampaian sijil kursus peralihan penolong pegawai Rela lantikan baru KP17 Siri 1/2008 di Pusat Latihan Rela Wilayah Utara, Bukit Selambau, dekat sini hari ini.
Seramai 30 penolong pegawai Rela berjaya menamatkan kursus mereka dan diserapkan secara tetap sebelum ditempatkan di Pejabat Rela Daerah seluruh negara tidak lama lagi.
Menurut Zaidon, sehingga kini, seramai 1,089 pegawai tetap ditugaskan mengendalikan perjalanan dan fungsi di semua pejabat Rela negeri dan daerah seluruh negara.
Katanya, jumlah tersebut dijangka meningkat selepas proses menaik taraf jabatan itu siap.
''Kita telah mengemukakan permohonan untuk menambah bilangan kakitangan serta perjawatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
''Selepas diluluskan, kita berharap operasi Rela akan berjalan seperti jabatan-jabatan kerajaan lain," jelasnya.
Dalam pada itu, Zaidon berkata, Rela kini sedang mengadakan proses pengambilan pegawai baru bagi mengisi jawatan Penolong Pegawai Rela Daerah.
Katanya lagi, sehingga kini, pihaknya telah mengenal pasti 230 calon yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengisi jawatan tersebut.
''Sebelum ini, rata-rata Penolong Pegawai Rela Daerah terdiri daripada bekas anggota tentera berpangkat Pegawai Waran dan berusia 45 tahun ke atas," katanya.
''Bagaimanapun, bagi memantapkan lagi tugas dan fungsi Rela, kita telah dibenarkan oleh JPA untuk mengambil pegawai muda lepasan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang berumur 20 tahun ke atas," katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu, sehingga penghujung Jun lalu, anggota Rela berjaya menahan seramai 14,788 orang PATI di seluruh negara.
Katanya, usaha membanteras dan mengurangkan kebanjiran golongan tersebut akan diperhebatkan dari semasa ke semasa.
''Kita berharap usaha ini dilakukan dengan lebih berkesan memandangkan keanggotaan Rela kini meningkat kepada 588,000 orang," jelasnya.
No comments:
Post a Comment