16 July 2008

Peguam Negara pilih calon pengarah BPR

Berita Harian

Kuasa Bahagian Perundangan dan Pendakwaan diperkemas diperpendakwaan

KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR), menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk memilih dan mengumumkan calon yang akan dilantik sebagai Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaannya.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata Jabatan Peguam Negara bertanggungjawab menentukan calon jawatan itu yang bertanggungjawab melaporkan kepada beliau berhubung keputusan pendakwaan.

"Kita tunggu mereka (Jabatan Peguam Negara) mengumumkan pelantikan. Pemilihan calon ini tidak membabitkan BPR.

"Dengan keputusan ini, BPR diberi kuasa penuh untuk menyiasat dan mendakwa semua kes jenayah rasuah termasuk yang berkepentingan awam, menerusi Bahagian Perundangan dan Pendakwaan," katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan BPR hanya boleh memberi nasihat mengenai sesuatu kes tetapi perlu merujuk kepada Jabatan Peguam Negara, yang akan menentukan sama ada kes berkenaan akan dibawa ke mahkamah.

Pemberian kuasa itu tidak memerlukan pindaan terhadap Akta Pencegahan Rasuah 1997 kerana Jabatan Peguam Negara memperakukan pegawai kanan yang juga Timbalan Pendakwa Raya untuk ditempatkan sebagai Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan.

Sehubungan itu, langkah berkenaan tidak bertentangan dengan Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan yang hanya memperuntukkan kuasa pendakwaan kepada Jabatan Peguam Negara.

Pembaharuan itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 21 April lalu bahawa BPR akan diberi lebih kebebasan menerusi proses pembaharuan yang dijangka berterusan sehingga akhir tahun ini.

Antara lain ia termasuk mengubah BPR menjadi Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia (MCAC), menubuhkan lembaga penasihat bebas bagi memastikan MCAC bebas, telus dan bertanggungjawab selain menubuhkan Jawatankuasa Parlimen Mengenai Anti Rasuah.

Difahamkan, MCAC akan menggaji 5,000 kakitangan profesional bagi mewujudkan program perlindungan yang menyeluruh bagi pemberi maklumat dan saksi selain ketetapan supaya MCAC mengemukakan laporan tahunan kepada jawatankuasa Parlimen terbabit.

Ahmad Said berkata, Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan BPR yang sedia ada, Abdul Razak Musa, akan meneruskan operasi seperti biasa sehingga Jabatan Peguam Negara mengumumkan pelantikan baru.

Bidang kuasa Bahagian Perundangan dan Pendakwaan BPR kini terhad kepada mengawal dan memberi arahan dalam pendakwaan kes jenayah dan prosiding berkaitan, umpamanya, Seksyen 376(1) Kanun Acara Jenayah, Seksyen 50 Akta Pencegahan Rasuah 1997.

No comments: