10 May 2008

Umur persaraan kakitangan awam dilanjutkan ke 58 tahun

Berita Harian

PUTRAJAYA: Had umur persaraan wajib kakitangan awam dilanjutkan kepada 58 tahun daripada 56 mulai 1 Julai 2008 sebagai sebahagian daripada beberapa insentif yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad hari ini.

Yang lain termasuk menghitung pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun, menghapuskan syarat penyusutan pencen terbitan dan menambah baik Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) daripada segi kaedah pelaksanaannya. Beliau berkata keputusan melanjutkan umur persaraan wajib itu dibuat setelah kerajaan mengambil kira kadar jangka hayat dalam kalangan rakyat negara ini dan berdasarkan kajian bahawa pelaksanaannya tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan graduan baru.

“Ini adalah penting agar penjawat awam generasi baru tidak merasakan peluang mereka untuk maju dalam kerjaya mereka semakin tipis, malahan sebaliknya ia akan bertambah,” katanya pada sambutan Hari Pekerja Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Abdullah berkata kerajaan bersetuju untuk menghapuskan syarat penyusutan pencen terbitan mulai 1 Januari 2009.

Ini bermakna pencen terbitan akan dibayar 100 peratus kepada ahli keluarga gemulah.

Abdullah berkata perkiraan pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun bagi semua pesara dan penerima pencen akan berkuat kuasa 1 Januari 2009.

Sebelum ini pencen pegawai perkhidmatan awam dihitung dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 25 tahun.

Mengenai PTK, Perdana Menteri berkata bahawa sebenarnya sejak tahun 2003, kerajaan telah menambah baik kaedah pelaksanaannya termasuk menambah kekerapan pelaksanaannya agar urusan pengembangan kerjaya pegawai dapat dipercepatkan.

Beliau berkata tahun ini, kerajaan telah bersetuju membuat beberapa penambahbaikan lagi seperti; + bagi pegawai Gred 1 hingga Gred 16, kaedah ujian bertulis tidak akan digunakan untuk PTK. Lembaga penilaian kompetensi kementerian, negeri dan agensi akan menentukan kaedah lain sebagai ganti; dan, + bagi pegawai-pegawai gred-gred lain, kaedah yang sedang dilaksanakan juga akan dikaji semula dan dilaksanakan secara berperingkat.

Mengenai pencen terbitan, Abdullah berkata, kini satu daripada syarat pencen terbitan yang dibayar kepada ahli keluarga gemulah ialah kadarnya akan disusut kepada 70 peratus selepas 12 1/2 tahun dari tarikh persaraan atau kematian dalam perkhidmatan anggota sektor awam.

“Berdasarkan kajian terperinci, bagi keluarga yang mempunyai anak kecil semasa kematian gemulah, syarat ini agak membebankan dari segi kewangan. Untuk mengurangkan beban ini, kerajaan telah bersetuju untuk menghapuskan syarat penyusutan pencen terbitan ini mulai 1 Januari 2009.

“Ini bermakna pencen terbitan ini akan dibayar 100 peratus kepada ahli keluarga,” katanya.

Abdullah, yang juga Menteri Kewangan, berkata formula menghitung pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun, juga meliputi persaraan dan kematian dalam perkhidmatan sebelum tarikh berkuatkuasa.

Bagaimanapun, katanya, kadar pencen yang dihitung semula akan hanya diberi mulai 1 Jan 2009 tanpa bayaran tunggakan.

“Kedua-dua dasar baru mengenai pencen ini akan menelan belanja tambahan sebanyak RM718 juta setahun dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 310,000 pesara dan penerima pencen,” katanya.

Abdullah berkata kerajaan juga telah bersetuju bahawa ibu atau bapa pegawai yang meninggal dunia tanpa meninggalkan waris akan dibayar pemberian sekali atau ex-gratia dan bukan pencen terbitan.

Bagi tuntutan-tuntutan lain yang dikemukakan oleh Cuepacs, termasuk semakan semula kadar imbuhan tetap perumahan atau penyerapan masuk kakitangan kontrak sebagai kakitangan awam, ianya masih dalam penelitian kerajaan dan keputusannya akan diumumkan tidak lewat dari pembentangan Belanjawan Negara 2009, katanya.

Dalam ucapannya juga, Abdullah meminta anggota sektor awam untuk meningkatkan sumbangan masing-masing dalam setiap tugasan yang diberikan.

“Kita tidak boleh melengah-lengahkan sesuatu arahan, sebaliknya perlu mempunyai daya kesungguhan untuk melaksanakan keputusan yang dicapai.

“Apa juga keputusan atau rancangan tidak akan membawa sebarang makna sekiranya ianya tidak dilaksanakan dengan baik. Pada saya, pemantauan pelaksanaan adalah sangat penting,” katanya.

Beliau berkata penjawat awam juga perlulah memiliki keluhuran peribadi dan integriti yang tinggi kerana “tidak ada gunanya menguasai segala ilmu pengetahuan di dunia sekiranya kita tidak memiliki sikap yang baik.” “Perkhidmatan awam berperanan penting dalam mewujudkan persekitaraan yang kondusif bagi membolehkan negara terus berdaya saing dan berdaya maju.

“Sektor awamlah yang bakal menentukan jatuh bangunnya negara dalam ke arah Wawasan 2020,” katanya. - Bernama

1 comment:

KKSKMUKAH said...

Terima kasih Cuepacs, terima kasih JPA, terima kasih kerajaan.

Semoga ia memberi keuntungan dalam jangka masa panjang kepada penjawat awam..