08 May 2008

Penjawat awam digalak lebih berfikiran terbuka

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, pegawai dan kakitangan awam perlu mempunyai minda yang suka bereksperimen dalam melaksanakan tugas kerana ia menjadikan mereka sentiasa mahu meneroka cara terbaik meningkatkan mutu sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, minda yang suka bereksperimen bukan saja menjana nilai tambah dalam diri seseorang kakitangan dan organisasinya, malah melambangkan manusia berilmu serta sentiasa peka terhadap perubahan dan kehendak pelanggan.

"Minda yang suka bereksperimen suka menyiasat atau mempunyai sikap ingin tahu dan mencari alternatif dalam proses penyampaian kerajaan. Mereka tidak statik dalam pemikiran.

"Hanya minda yang terbuka saja dapat menilai sesuatu keadaan dan cara positif menjadikan sesebuah organisasi dinamik dan segar," katanya pada majlis sambutan Hari Pekerja dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008, Kementerian Pertahanan di sini, semalam.

Pada majlis itu, beliau yang juga Menteri Pertahanan menyampaikan sijil dan cek RM1,000 kepada 40 kakitangan awam serta pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kementerian itu.

Antara penerima khidmat cemerlang kategori kakitangan awam ialah Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kecil; manakala penerima ATM pula termasuk Panglima Markas 12 Briged, Brig Jen Datuk Mohd Zaki Mokhtar; Komandan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT), Laksamana Pertama Datuk Tang Eng Seng serta Panglima Markas Logistik Udara, Brig Jen Datuk Ackbal Abdul Samad.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Wira Abu Seman Yusop; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Abu Bakar Abdullah serta Panglima ATM, Tan Sri Abdul Aziz Zainal.

Najib berkata, perkhidmatan awam perlu sentiasa melakukan perubahan agar lebih tangkas, strategik dan berdisiplin supaya sentiasa relevan pada setiap masa.

Sehubungan itu, katanya, perkhidmatan awam juga menuntut anggotanya untuk menghadapi cabaran masa depan yang lebih besar dan sentiasa berubah-ubah.

No comments: