06 May 2008

Garis panduan, kriteria lantik Naib Canselor

Berita Harian

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi ingin merujuk surat yang disiarkan dalam ruangan ini pada 16 dan 17 April mengenai syor lantikan Naib Canselor perlu lulusan Doktor Falsafah (PhD).

Dalam usaha memperkasakan Institusi Pengajian Tinggi, kementerian melancarkan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara pada 2007.

Antara strategi yang digariskan adalah untuk memantapkan sistem urus tadbir Institusi pengajian tinggi dengan meningkatkan keberkesanan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan yang dinamik, berkualiti dan integriti.

Bagi pelantikan Naib Canselor di IPTA, Kementerian Pengajian Tinggi menubuhkan Jawatankuasa Carian, yang keahliannya terdiri daripada tokoh terkenal dalam pelbagai bidang dan memegang jawatan penting. Jawatankuasa itu akan menerima pencalonan, menyenarai pendek, mengenal pasti serta mencadangkan calon yang berkelayakan untuk dilantik sebagai Naib Canselor.

Selain itu, kementerian juga menetapkan kriteria yang perlu diambil kira dalam pemilihan seseorang Naib Canselor. Pelantikan Naib Canselor perlu diberi keutamaan kepada warga negara Malaysia yang layak.

Pemilihan Naib Canselor melalui proses temu duga adalah berasaskan kepada kriteria berikut:


  • Visi dan Misi.

  • Kepemimpinan dan Pengurusan.

  • Pencapaian Akademik.

  • Pengiktirafan.
  • Keperibadian Unggul.

  • Fasih berkomunikasi dalam bahasa Malaysia dan Inggeris.

  • Lain-lain (laporan penilaian daripada bekas Naib Canselor).

    Pencapaian akademik yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

  • Di kalangan sarjana yang memaparkan pencapaian dan sumbangan akademik yang sangat istimewa kualiti dan nilainya serta mengatasi rakan akademik yang lain;

  • Mempunyai keupayaan untuk dihormati rakan akademiknya berdasarkan merit dan kredibiliti kesarjanaannya, dan

  • Mempunyai kuasa dalam disiplin ilmunya dan mampu memberikan kepemimpinan akademik yang baik bukan saja kepada mahasiswa, malah juga penyelidik, rakan akademik serta masyarakat.

    NUR ASHIKIN OTHMAN,
    Ketua Unit Media
    dan Komunikasi Korporat,
    Kementerian Pengajian Tinggi.
  • No comments: