Perkeso bayar lebih cepat
Utusan Online
KUALA KANGSAR 20 Mac – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya terdapat pekerja terpaksa menunggu sehingga bertahun-tahun untuk mendapatkan faedah selepas mengalami kemalangan di tempat kerja.
Pengurus Besar Cawangan Faedah dan Bahagian Operasi Perkeso, Mohd. Rosdi Mat Yasin berkata, masalah kelewatan pembayaran faedah tidak sepatutnya berlaku jika majikan menghantar dokumen lengkap yang diperlukan.
‘‘Kebanyakan kes kelewatan pembayaran faedah adalah disebabkan dokumen tidak lengkap selain majikan sendiri yang lewat menghantar tuntutan.
‘‘Jika semua dokumen seperti laporan perubatan lengkap dan dihantar, kami beri jaminan ia akan diproses dan pembayaran faedah kepada mangsa akan dibuat dalam masa yang singkat,” katanya.
Bercakap kepada para pemberita di sini hari ini selepas menyampaikan cek faedah pengkebumian kepada keluarga mangsa letupan kilang Malayan Flour Mills, Segari, Batu Undan dekat Lumut pada Isnin lalu, Mohd. Rosdi berkata, Perkeso hanya mengambil masa sehari untuk membuat pembayaran faedah pengkebumian kepada keluarga mangsa dalam kejadian itu.
Katanya, tindakan itu diambil selepas pihaknya mengetahui kes tersebut melalui laporan akhbar dan bukannya daripada makluman pihak majikan yang terlibat.
Menurutnya, cek bernilai RM1,500 itu diserahkan kepada ahli keluarga mangsa dan bayaran pencen bulanan mangsa tersebut akan diterima mulai bulan depan.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa nasib dan masa depan golongan pekerja dianggap ‘gelap’ sekiranya majikan mereka tidak mendaftar dengan Perkeso kerana pihaknya tidak dapat memberikan bantuan jika berlaku kemalangan di tempat kerja.
‘‘Majikan mestilah mementingkan keselamatan dan memikirkan masa depan pekerja yang berkhidmat untuk mereka.
‘‘Walaupun hanya mempunyai seorang pekerja, majikan mesti mendaftar dengan kami supaya Perkeso dapat berusaha meringankan beban pekerja sekiranya terjadi kemalangan di tempat kerja apatah lagi jika ia melibatkan kematian,” katanya.
No comments:
Post a Comment