22 March 2008

Tarik kaum India ke sektor awam

Utusan Online

PUTRAJAYA 21 Mac – Menteri Sumber Manusia yang baru, Datuk Dr. S. Subramaniam bertekad untuk memberi tumpuan khusus terhadap usaha mengurangkan pengangguran di kalangan masyarakat India dengan menarik mereka menyertai sektor awam.

Beliau yang juga Setiausaha Agung MIC berkata, isu pengangguran di kalangan golongan minoriti itu ditekankan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam mesyuarat Kabinet pertama dua hari lalu.

Menurut beliau, Perdana Menteri turut membangkitkan tentang kurangnya latihan kemahiran diberi kepada anak muda India selain peluang pekerjaan di estet-estet kurang mendapat sambutan.

Sehubungan itu, kata beliau, penyertaan kaum India dalam sektor awam akan terus dipertingkatkan dengan cara mengiklankan tawaran kerja yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam di laman-laman web supaya jumlah sebenar pemohon diketahui.

‘‘Saya anggap kemudahan dalam kementerian merupakan peluang terbaik yang boleh digunakan untuk menyelesaikan beberapa isu yang saya sebutkan tadi,” katanya pada sidang akhbar pada hari pertama tugasnya di kementerian itu di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan lantang memperjuangkan hak-hak kaum India, Subramaniam berkata, MIC masih mempunyai Presiden iaitu Datuk Seri S. Samy Vellu walaupun ramai pemimpin kanan parti itu kalah teruk pada pilihan raya umum lalu.

Sebelum itu, Subramaniam mendengar taklimat dan mengadakan pertemuan dengan para pegawainya yang turut disertai oleh timbalan beliau, Datuk Noraini Ahmad.

No comments: