NUTP gesa segera selesai empat masalah guru
Berita Harian
Oleh Azman Mahmood
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta Kementerian Pelajaran dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) segera menyelesaikan beberapa isu warga pendidik yang belum ada kesudahan.
NUTP mengemukakan empat isu baru yang perlu ditangani segera kementerian membabitkan JPA bagi menyelesaikan masalah tidak puas hati pendidik sehingga memberi kesan terhadap pencapaian kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.
Empat isu yang perlu diselesaikan segera bagi mengembalikan keyakinan warga pendidik dan berasa dihargai adalah:
l Potongan cukai pendapatan warga pendidik yang terlalu tinggi.
l Elaun kritikal untuk subjek Ketukangan didakwa ditarik balik JPA.
l Pensyarah di Institut Perguruan Guru (IPG) diminta bertugas sembilan jam sehari tanpa mendapat kelulusan JPA dan setakat ini didakwa tiada surat rasmi daripada kerajaan.
Presiden NUTP, Anuar Ibrahim berkata empat isu itu perlu diberi perhatian serius Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran dan JPA yang menarik balik elaun kritikal untuk subjek Ketukangan yang dihentikan mulai Januari lalu.
“Bukan kita tidak puas hati dengan apa yang diberikan kementerian (kepada warga pendidik)... terlalu banyak yang sudah dinikmati.
“Tetapi, apa yang kita nyatakan ini adalah suara guru pada peringkat akar umbi dan kita dapati masih ada perkara perlu diberi perhatian,” katanya pada sidang media di Pejabat NUTP, di sini, semalam.
Anuar berkata, antara isu lama belum diselesaikan kementerian seperti masalah guru bukan siswazah yang mendapat gaji rendah walaupun dinaikkan gred DG41 selepas menamatkan pengajian peringkat ijazah.
Katanya, isu itu berlaku sejak lebih lima tahun lalu dan dianggarkan 70,000 guru bukan siswazah yang menyambung pelajaran ke peringkat ijazah tidak diiktiraf pengalaman puluhan tahun mereka sebagai guru sebelum ini, berbanding guru siswazah baru.
“Kumpulan ini adalah antara tenaga pendidik yang sehingga kini berasa kecewa. NUTP berharap kementerian dan JPA memberi perhatian dan membuat kajian semula dengan mengambil kira pengalaman bagi membolehkan mereka menikmati gaji setaraf guru skim siswazah,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, berkata antara perkara perlu diberi perhatian serius oleh kementerian adalah potongan cukai pendapatan guru yang terlalu tinggi antara RM200 hingga RM1,000 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang didakwa mula dilaksanakan Februari lalu.
Katanya, potongan ini dibuat tanpa perbincangan dengan NUTP dan tidak mendapat kebenaran guru.
No comments:
Post a Comment