22 March 2008

'Harap sagu hati lulus'

Berita Harian

Oleh Basir Zahrom

Cuepacs temui PM bincang tuntutan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tetap berharap kerajaan meluluskan permintaan sagu hati menggantikan bonus berjumlah RM2,000 kepada 1.2 juta kakitangan awam seperti dituntut kongres itu sebelum ini.

Presidennya, Omar Osman, berkata beliau akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi membincangkan permintaan itu.

"Sebelum ini, hasrat kami (Cuepacs) untuk bertemu Perdana Menteri tertangguh kerana kami tidak ingin mengganggu tumpuannya pada pilihan raya umum ke-12.

"Kini selepas pilihan raya berakhir, kami boleh memikirkan perkara itu semula," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Majlis Jawatankuasa Tertinggi Cuepacs 11 Februari lalu memberi tanggungjawab kepada Omar untuk berbincang terus dengan Perdana Menteri mengenai pembayaran sagu hati itu selepas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, didapati `segan' untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, hasrat untuk mengadakan pertemuan itu pada 28 Februari lalu terpaksa ditangguhkan kerana Perdana Menteri, ketika itu sibuk dengan persiapan pilihan raya umum.

Mengulas lanjut, Omar berkata, perkara itu akan dibincangkan sekali lagi pada Mesyuarat Majlis Jawatankuasa Tertinggi Cuepacs 2 April ini bagi memastikan segala tindakannya kelak mendapat restu semua pihak.

"Kita berharap permintaan itu mendapat maklum balas segera daripada kerajaan kerana ia sudah mendapat `restu' PM sendiri sebelum ini.

"Tambahan pula, keputusan sama ada ia diluluskan atau tidak sudah lama ditunggu oleh Cuepacs serta 1.2 juta kakitangan awam," katanya.

Omar berkata, pemberian sagu hati adalah wajar dalam keadaan sekarang kerana 850,000 daripada 1.2 juta kakitangan awam berpendapatan rendah serta sederhana dan kenaikan pendapatan daripada pelarasan gaji Julai lalu dihakis kenaikan harga barang.

No comments: