03 January 2008

BPR tekad banteras ‘ikan bilis’

Berita Harian

Oleh Oleh Mona Ahmad

KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) bertekad menghapuskan rasuah jalanan atau rasuah ‘ikan bilis’, bagi memulihkan imej negara terutama di kalangan pelancong asing dan pendatang tanpa izin menerusi pelbagai cara, termasuk mengadakan kempen kesedaran.

Pengarah BPR Wilayah Persekutuan, Moh Samsudin Yusof, berkata secara umumnya, pihaknya banyak menerima maklumat mengenai kes rasuah jalanan.

Sehubungan itu, katanya, kerjasama semua pihak, terutama orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat dan sebagai saksi diperlukan dalam menangani rasuah jalanan.

“Kebanyakan kes rasuah jalanan atau ‘ikan bilis’ berlaku di kaunter awam, sehubungan itu orang ramai diminta untuk tampil sebagai saksi untuk memudahkan kes diselesaikan.

“Kita juga akan mempergiatkan kempen kesedaran mengenai rasuah di kalangan penjawat awam, terutama mereka yang sering berurusan dengan orang ramai termasuk pelancong asing,” katanya selepas majlis penyerahan tugas di sini, semalam.

Pada majlis itu, bekas Pengarah BPR Wilayah Persekutuan, Datuk Abu Zubir Mahodz yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan badan itu, menyerahkan tugasnya kepada Moh Samsudin sambil disaksikan Pengarah Bahagian Risikan BPR, Datuk Mohd Jamidon Abdullah.

Terdahulu, Abu Zubir dalam ucapannya berkata, sepanjang 2007, pihaknya menerima 620 maklumat berhubung pelbagai kegiatan rasuah di Wilayah Persekutuan berbanding 691 maklumat sepanjang tahun sebelumnya.

“Bagi tangkapan pula, 51 orang ditahan, termasuk 33 kakitangan penguat kuasa sepanjang tahun lalu berbanding 65 tangkapan tahun sebelumnya," katanya.

No comments: