03 January 2008

Fadzlette wanita pertama berpangkat Kolonel KPA

Utusan Online

KUALA LUMPUR 2 Jan. – Kolonel Fadzlette Othman Merican Idris Merican (gambar) muncul wanita pertama dalam sejarah Kor Perkhidmatan Am (KPA) (Perhubungan Raya) Tentera Darat yang memakai pangkat tersebut.

Fadzlette, 46, juga muncul wanita kedua dari kalangan pegawai Tugas Am yang memakai pangkat itu, selepas Kolonel Norhuda Ahmad yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Penyelidikan dan Penerbitan di Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan di bawah Kementerian Luar Negeri.

Menurut Fadzlette, pemakaian pangkat itu turut membuktikan bahawa organisasi Tentera Darat tidak hanya didominasi oleh lelaki

‘‘Justeru, saya akan terus berkhidmat untuk menjaga imej Kementerian Pertahanan dan sebagai ‘orang tengah’ antara kementerian dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai-pegawai Kanan Tentera Darat di sini hari ini.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Masood Zainal Abidin.

Fadzlette berkhidmat selama 27 tahun bersama ATM dan kini menyandang jawatan Pemangku Pengarah KPA (Perhubungan Raya) di Kementerian Pertahanan.

Pemakaian pangkat baru hari ini melibatkan 27 orang iaitu tiga dari Brigadier Jeneral ke Mejar Jeneral, dua dari Kolonel ke Brigadier Jeneral, enam Leftenan Kolonel ke Kolonel dan 16 Mejar ke Leftenan Kolonel.

No comments: