Universiti wajar diberi kuasa autonomi
Berita Harian
USAHA mencemerlangkan modal insan khususnya di kalangan pelajar universiti di negara ini sebenarnya memerlukan pembabitan secara menyeluruh pemegang sahamnya bagi memastikan bukan saja tadbir urus berintegriti bahkan sumbangan dan tanggungjawab semua pihak secara serius lagi komprehensif.
Modal insan terletak bukan saja kepada berapa ramai pelajar berijazah, malah kepada ukuran dan pencapaian akademik serta pemerolehan ilmu dan kemahiran insaniah dalam konteks tuntutan glokal.
Bolehkah pelajar diasuh dengan kepelbagaian ilmu komunikasi, kemahiran sosial dan kepintaran emosi, kerohanian dan jatidiri yang tinggi?
Tidak mungkinkah setiap pensyarah dilengkapi, bukan saja kebebasan mengajar dengan pedagogi sendiri bahkan berpandukan pelan pendidikan yang dirancangkan berda-sarkan keperluan semasa dan kehendak masa hadapan?
Persoalan kini, apakah bentuk kurikulum yang sesuai lagi relevan? Adakah pembabitan industri memadai dan sesuai dengan perubahan pasaran dan keperluan sumber tenaga?
Siapakah yang menentukan perubahan dan kesesuaian kurikulum? Benarkah pelajar diasah dengan kepelbagaian teori bukan sebaliknya? Kayu ukur siapa dalam keperihalan pendidikan universiti yang sewajar dimanfaatkan?
Perlukah kita mengejar penarafan tinggi jika ramai graduan yang masih tidak diterima pasaran kerja?
Banyak soalan penting perlu dijawab kerana universiti perlu bersifat luwes lagi proaktif selagi pembinaan modal insan menjadi pendorong utama.
Universiti mesti kekal sebagai gedung ilmu yang mencetuskan pemikiran, pandangan dunia (weltanschuung) baru bukan bersekongkol dengan hanya memenuhi pasaran kerja, institusi itu mesti menjadi penyelesai masalah, pencetus idea baru dan menjadi rujukan masyarakat dalam keperihalan dinamika masyarakat selain disegani sebagai satu institusi sosial bukan sebaliknya.
Justeru, setiap pemegang saham bertanggungjawab dalam memperkasakan proses pembinaan modal insan. Universiti mesti diberikan kuasa autonomi dan ditadbir urus dengan penuh ketelusan mengikut acuan sendiri. Selain itu universiti mesti memperkasakan warga kampusnya dengan visi dan misi baru, semangat dan roh kental yang berpijak di bumi nyata, sekali gus ditadbir urus dengan penuh sifat integriti dan sifat amanah yang tinggi.
Kayu ukur kecemerlangan perlu terletak kepada akauntabiliti, ketelusan bukan sebaliknya. Warga universiti mesti terdiri daripada mereka yang layak lagi berintegriti demi menjana pengurusan yang berkualiti, mapan lagi berwibawa.
Jika universiti diuruskan dengan warga dan pemegang saham yang berkepentingan dan lemah integriti, maka kehancuran akan melanda sesebuah organisasi. apabila banyak salah laku, dan ketidakadilan bermaharajalela.
Tidak hairanlah universiti terkemuka di Amerika Syarikat menuntut kompetensi serta kepakaran pihak pengurusan yang bukan saja berketrampilan bahkan mempunyai integriti tinggi. Ini syarat utama ke arah kecemerlangan sesebuah universiti.
Apakah kita bersedia mengamalkan etika kerja dan menghayati nilai moral yang tinggi?
PROF MADYA MOHAMAD MD YUSOFF,
Pusat Pengajian Komunikasi
USM, Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment