Aspek selenggara selalu diabai
Berita Harian
ISU paling penting yang dihadapi Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam usaha menyelenggara aset dan fasiliti ialah penyelenggaraan tidak dijadikan bahagian penting pada peringkat pembuat keputusan dalam organisasi, kata Ketua Sektor Penyelenggaraan JKR, Datuk Annies Md Ariff.
Beliau berkata, penyelenggaraan dianggap sebagai satu bentuk perkhidmatan.
“Semua pemilik aset perlu menyedari hakikat bahawa keberkesanan pengurusan aset akan mendatangkan keuntungan jangka panjang dalam bentuk kewangan dan sosial,” katanya dalam kertas kerja pada Konvensyen Pengurusan Aset dan Fasiliti Negara (Nafam) 2007, semalam.
Beliau juga berkata, cara penyelenggaraan bangunan memerlukan anjakan paradigma dengan merapatkan jurang mengenai kaedah atau pendekatan lama dan baru dalam melaksanakan penyelenggaraan.
Katanya, ia kerana meskipun dasar sedia ada yang menyatakan bangunan kerajaan perlu diselenggara mengikut Perintah Am Bab E Tahun 1974 dan Surat Pekeliling Am Kerajaan Bilangan 2 Tahun 1995, standard penyelenggaraan bangunan kerajaan masih tidak memenuhi seperti dihasratkan.
Usaha yang lebih, katanya, juga perlu dilakukan untuk memastikan proses pelaksanaan penyelarasan antara agensi dapat dilakukan dengan sebaiknya.
“Sebagai contoh, Perbendaharaan mungkin mengeluarkan pekeliling tertentu mengenai standard dan keperluan penyelenggaraan, manakala Jabatan Audit dipertanggungjawabkan dengan tugas memastikan standard itu dipatuhi.
“Usaha setiap komponen itu baik tetapi hasilnya tidak memenuhi seperti diharapkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment