14 August 2007

Aset pendidikan awam dipantau

Berita Harian


JPA mahu penyelenggaraan lebih sistematik, berkesan

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan penubuhan Bahagian Perolehan dan Penyelenggaraan Aset yang pertama seumpamanya di Kementerian Pelajaran bagi menangani masalah pengurusan aset pendidikan awam negara secara sistematik dan berkesan.

Insiden seperti bangunan sekolah tidak siap mengikut jadual, makmal komputer runtuh dan kontraktor tidak memenuhi syarat kontrak pelaksanaan projek mendorong Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengarahkan supaya mekanisme diwujudkan untuk mengelak kejadian sama berulang.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan) kementerian berkenaan, Datuk Fatimah Md Deni, berkata kelulusan rasmi diperoleh dua minggu lalu selepas kertas kerja cadangan penubuhan bahagian itu dikemukakan kepada JPA tahun lalu.

“Sebelum ini, penyelenggaraan aset dilaksanakan tetapi tidak fokus dan tidak secara sistematik menyebabkan jumlah perbelanjaan untuk penyelenggaraan meningkat kerana ia disediakan secara ad-hoc apabila berlaku sesuatu masalah.

“Bahagian baru dalam kementerian ini akan memastikan semua kakitangan dan pelajar dapat melaksanakan tugas serta menimba ilmu dalam keadaan selamat dan selesa. Oleh itu, sebagai permulaan maklumat mengenai semua aset yang dimiliki dan diuruskan kementerian ini akan dikumpul untuk memudahkan proses pemantauan,” katanya ketika ditemui pada Konvensyen Pengurusan Kemudahan dan Aset Kebangsaan (Nafam) 2007, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Fatimah berkata, hanya dua daripada tiga aspek yang dianggap penting dan kritikal diluluskan JPA iaitu penyelenggaraan bangunan membabitkan 10,000 sekolah, kolej matrikulasi, institut pendidikan perguruan, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) serta peralatan seperti kelengkapan makmal komputer dan sains serta bengkel.

“Satu lagi aspek iaitu penyelenggaraan kenderaan tidak mendapat kelulusan walaupun ia sebenarnya penting kerana kementerian pada semua peringkat mempunyai banyak bas, van dan kereta yang digunakan kakitangan dan pelajar,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini, pihaknya menerima sekurang-kurangnya satu aduan sehari membabitkan masalah penyelenggaraan seperti kerosakan paip, bumbung bocor, sistem pendawaian, tandas tersumbat dan sistem perkomputeran tidak berfungsi dengan baik.

Katanya, walaupun kerosakan yang dialami kecil tetapi tanpa pegawai teknikal pada peringkat PPD selain bajet yang tidak mencukupi menyebabkan aduan disalurkan ke Pusat untuk tindakan susulan.

Fatimah berkata, ketika ini, pihaknya menerima peruntukan tahunan RM200 juta untuk operasi membabitkan peralatan dan kenderaan dan kira-kira RM500 juta untuk pembangunan sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Beliau berkata, berdasarkan keputusan JPA, struktur bahagian itu akan dianggotai 12 pegawai teknikal yang pakar dalam bidang kejuruteraan sivil dan struktur, kejuruteraan mekanikal dan elektrikal, pengurusan di kalangan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dan teknologi maklumat.

“Bagaimanapun, bahagian ini hanya dapat beroperasi jika Jabatan Kerja Raya mempercepatkan proses meminjam pegawainya untuk mengisi semua jawatan itu,” katanya yang merangka tugasan pemantauan, pelaksanaan dasar dan mekanisme yang akan dibahagikan mengikut zon.

No comments: