14 August 2007

Percepat laksana tadbir urus baik – Nazrin

Utusan Online


Oleh RAJA LUVENA SHARIFUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini bertitah, semua pihak perlu menetapkan minda dan pandangan mengenai tadbir urus baik sekiranya mahu sistem itu direalisasikan di Malaysia.

Baginda bertitah, dengan pemahaman umum bahawa tadbir urus baik merupakan proses yang cekap, berkesan dan beretika, maka proses perubahan ke arah sistem itu yang telah pun bermula boleh dipercepatkan.

Untuk berbuat demikian, titah baginda, ketelusan dan keterbukaan perlu wujud dengan menggalakkan aliran maklumat yang bebas serta mudah diperolehi agar masyarakat boleh membuat keputusan yang bijak dan mengurangkan kejadian salah guna kuasa.

Oleh itu, titah baginda lagi, negara ini perlu terus bergerak ke arah sistem tadbir urus yang semakin terbuka.

Menurutnya, pembasmian kerenah dan prosedur birokrasi boleh membantu mengurangkan kos ekonomi yang tinggi dan menghalang sebarang peluang bagi bayaran haram.

‘‘Bilangan perundangan, permit dan lesen mesti dikurangkan. Proses tender perlu dijadikan lebih berdaya saing dan telus. Pembekal maklumat perlu dilindungi daripada tindak balas mereka yang diadu.

‘‘Langkah-langkah ini boleh membantu mengurangkan peluang bagi rasuah,’’ titah baginda ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa ‘Cabaran-Cabaran Pendemokrasian dan Tadbir Urus Baik dalam Sektor Awam Malaysia’ di sini hari ini.

Persidangan dua hari anjuran Universiti Malaya (UM) dan Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (Inpuma) itu turut dihadiri Naib Canselor UM, Datuk Rafiah Salim dan Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Arshad Ayub.

Raja Nazrin Shah bertitah, tadbir urus baik turut memerlukan sifat bertanggungjawab oleh mereka yang memegang kuasa.

Titahnya, walaupun pegawai awam perlu diberikan kuasa yang secukupnya untuk menyalurkan tadbir urus yang baik, namun perlu ada halangan yang berkesan ke atas kuasa itu agar kepentingan awam dipenuhi, bukan ‘kepentingan khas’.

‘‘Kepentingan kebebasan kehakiman dan pengasingan kuasa yang rasmi antara cabang kerajaan yang berlainan tidak boleh diketepikan,’’ titahnya.

Baginda bertitah, tadbir urus baik turut melibatkan penyertaan awam yang aktif dan berleluasa kerana masyarakat kini semakin berpendidikan, canggih dan lengkap.

Titah Raja Nazrin Shah, masyarakat kini mengalu-alukan dan menghargai kerajaan yang mudah didekati serta boleh dirunding, kerajaan yang memberi petunjuk dan bukannya mengarah.

‘‘Oleh itu, adalah logik bagi gesaan ke arah tadbir urus baik diiringi gesaan bagi pendemokrasian yang lebih hebat kerana mereka berhubung kait walaupun berbeza dari segi konsep,’’ titahnya.

Demokrasi, titah baginda, memberikan saluran kepada pelbagai pihak memberi suara mengenai cara mereka mahu ditadbir, iaitu kerajaan dengan keizinan.

‘‘Proses pendemokrasian juga perlu mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Penyertaan mereka perlu digalakkan ke tahap mereka membantu institusi kuasa untuk berfungsi dengan lebih baik,’’ titah Raja Nazrin Shah.

No comments: