14 August 2007

Amal budaya jaga harta benda

Utusan Online


Oleh Fauzi Jaafar

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Kakitangan awam dan masyarakat perlu mengamalkan budaya menjaga serta memelihara harta benda bukan sahaja bangunan yang didiami tetapi segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, buat masa ini budaya tersebut masih belum bertapak kukuh dalam minda masyarakat sehingga menyebabkan mereka tidak mementingkan budaya penyelenggaraan.

‘‘Orang menganggap ia hanya tanggungjawab jabatan tertentu... Jika dalam jabatan pula, ada orang yang ditugaskan menjaga harta benda kerajaan,’’ kata beliau.

Beliau bercakap pada sidang akhbar di Konvensyen Pengurusan Aset dan Fasiliti Negara (Nafam) 2007 di sini, hari ini.

Konvensyen selama dua hari itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata, budaya menjaga pengurusan aset dan fasiliti perlu diamalkan dalam masyarakat.

Menurut Mohd. Sidek, walaupun ada peruntukan untuk menyelenggara bangunan dan harta benda, namun budaya itu perlu dipupuk kerana ia mampu mengurangkan kos penyelenggaraan yang terpaksa ditanggung kerajaan.

Dari segi jabatan kerajaan pula, mereka perlu proaktif melaporkan sebarang kepincangan pada bangunan atau harta kerajaan walaupun bukan di jabatan atau bangunan mereka sendiri.

‘‘Misalnya, ada pokok di atas bangunan. Ia bukan tanggungjawab pemilik bangunan tetapi mereka yang melihatnya perlu melaporkan,’’ katanya.

Beliau menambah, Perdana Menteri sentiasa mementingkan aspek penyelenggaraan dan mahukan minda masyarakat turut berubah untuk memupuk budaya itu.

‘‘Seperti main golf, peraturannya selain jaga harta sendiri, kena jaga harta orang lain, kerana ada orang lain yang mahu menggunakan kemudahan itu,’’ katanya.

Beliau mengakui masalah sekarang ialah tiada pengawasan atau pemantauan dalam memastikan harta benda seperti bangunan berada dalam keadaan baik.

Ditanya sama ada pengawasan sekarang masih berada di tahap rendah, beliau berkata, ia masih boleh diperbaiki.

‘‘Tahun lepas pemantauan ada, tetapi adakah memantau sahaja tanpa penguatkuasaan supaya projek itu dilakukan dengan lebih baik?

‘‘Pemantauan dan penguatkuasaan penting, kalau tidak lakukan kerja dengan lebih baik Perdana Menteri arahkan ambil tindakan. Kita mesti tegas dalam hal ini,’’ kata beliau.

No comments: