Usaha Cuepacs tak menyeluruh
Berita Harian
SAYA tertarik mengulas usaha kepemimpinan Cuepacs untuk turun padang bagi mengesan kakitangan awam yang membuat kerja sambilan.
Kami menghormati usaha itu, tetapi kami berharap Cuepacs terus mengutamakan penumpuan terhadap kebajikan kakitangan awam dari pelbagai aspek.
Malah, Perdana Menteri pun tidak menghalang kakitangan awam yang mencari sumber tambahan melalui kerja sambilan tetapi beliau menasihati mereka agar tidak mengabaikan tugas utama.
Sebagai kakitangan awam yang mempunyai banyak tanggungan dan kos sara hidup yang terus meningkat, kami bersyukur dengan kenaikan yang diumumkan. Namun, adakah Cuepacs sedar, dengan membuat kerja sambilan kami adalah sebahagian rakyat Malaysia yang bijak mengurus masa, pandai mengambil peluang terbuka dan tidak menagih bantuan apabila terdesak.
Kerja utama kami dilaksanakan secara profesional. Integriti kami juga tidak perlu dipertikaikan kerana kami mencari sumber pendapatan halal dan tidak terbabit dengan rasuah untuk menyara keluarga.
Usaha Cuepacs ini adalah pembaziran masa dan untuk pengetahuan, terlalu ramai yang menjalankan kerja sambilan dengan membawa pelbagai jenis kain, kuih-muih menjelang raya dan membawa teksi malah apa jua bidang yang sesuai dengan kemampuan mereka.
Saya menganggap usaha ini sia-sia dan bukan tindakan bijak Cuepacs.
Pihak Cuepacs wajar menyedari bahawa sebahagian kakitangan awam juga adalah mereka yang memilih skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pemilih skim KWSP sehingga kini belum pernah diberikan perhatian oleh kepemimpinan Cuepacs dari dulu hingga sekarang.
Kepada siapa pemilih skim KWSP perlu mendapat pembelaan. Golongan ini tidak mendapat ganjaran perkhidmatan, akan hilang pendapatan selepas bersara, tidak mendapat manfaat kenaikan pencen yang diumumkan oleh kerajaan dan hilang status sebagai pesara untuk mendapatkan rawatan percuma sebagai bekas kakitangan awam.
Untuk menghadapi keadaan ini kami perlu bersedia mencari tapak mulai sekarang.
Justeru, kami berharap usahlah Cuepacs bersusah payah menasihati penjawat awam yang mencari sumber pendapatan tambahan, asalkan ia halal dan tidak menyalahgunakan kuasa dan kedudukan.
Paling mustahak, kami memohon agar Cuepacs terus memperjuangkan hasrat kakitangan awam yang mahukan ujian PTK dimansuhkan sehingga berjaya.
KAKITANGAN SKIM KWSP,
Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment