22 June 2007

Tindakan tegas guru abaikan tugas hakiki

Utusan Online

PULAU PINANG 21 Jun – Guru yang bersikap sambil lewa ketika bertugas di sekolah tetapi pada masa yang sama boleh bersungguh-sungguh mengajar di kelas tuisyen, boleh dikenakan tindakan tegas oleh Kementerian Pelajaran termasuk diberhentikan kerja.

Peringatan keras itu disuarakan Pengarah Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran, Noor Rezan Bapoo Hashim setelah mendapati ada segelintir guru mengajar tuisyen melebihi tempoh yang dibenarkan oleh kementerian.

Menurutnya, tugas hakiki guru ialah mendidik pelajar di sekolah, tetapi mereka mengabaikannya kerana terpaksa mengejar masa untuk menghadiri kelas tuisyen.

Sehubungan itu, Noor Rezan meminta guru yang tergolong dalam kumpulan itu meletak jawatan sekiranya mahu serius mengajar di kelas tuisyen, sebelum tindakan tegas termasuk diberhentikan kerja diambil oleh pihak kementerian.

‘‘Jika guru rasa mereka boleh mendapat pendapatan lumayan dengan mengajar di kelas tuisyen, lebih baik mereka berhenti daripada menjadi guru sekolah,” katanya pada Program Bantuan Sukarelawan Intel Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, kementerian memahami masalah kewangan yang dihadapi segelintir guru terutama yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur serta Pulau Pinang dan memberi kelonggaran bekerja sambilan dengan mengajar di kelas-kelas tuisyen selama empat jam seminggu.

‘‘Tetapi jangan pula sampai abaikan tugas asal mereka sebagai pendidik di sekolah,” tegasnya sambil memberitahu ketika ini tidak sampai 10 peratus daripada guru mendaftar dengan kementerian untuk mengajar tuisyen secara sambilan.

Katanya, kementerian menerima aduan bahawa terdapat guru yang mengajar tuisyen melebihi tempoh yang dibenarkan oleh kementerian sehingga mengabaikan waktu kerja mereka di sekolah.

No comments: