19 June 2007

Guru ijazah terima gaji lebih rendah

Berita Harian

SEJAK semakan gaji kakitangan awam yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, saya ingin mengemukakan perbezaan peratusan kenaikan di antara gred profesional dengan kumpulan sokongan yang memberi banyak kesan kepada mereka terbabit.

Keadaan ini lebih ketara dalam sektor perkhidmatan pendidikan terutama apabila seseorang guru yang melanjutkan pelajaran ke universiti tetapi apabila ditempatkan semula, akan menerima gaji lebih rendah berbanding dengan guru yang tidak melanjutkan pelajaran.

Menurut laporan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), terdapat kira-kira 55,000 guru terbabit dan tersepit dengan keadaan ini tetapi sebenarnya jumlahnya lebih ramai daripada jumlah berkenaan.

Keadaan ini disebabkan oleh beberapa perkara iaitu:

  • Gaji lebih rendah berbanding guru yang tidak menyambung pelajaran.

  • Menanggung hutang pinjaman antara RM20,000 dan RM40,000.

  • Hilang kekananan jawatan.

  • Tidak mendapat kenaikan pangkat.

  • Beban tugas yang lebih berat di sekolah menengah.

    Keadaan ini secara tidak disedari dan menimbulkan banyak implikasi tidak baik dan bakal menjejaskan mutu pendidikan itu sendiri.

    Dasar yang menetapkan bahawa semua guru sekolah menengah dan 50 peratus guru sekolah rendah mempunyai ijazah pada 2010 juga pastinya tidak tercapai jika beginilah keadaannya.

    Permohonan untuk melanjutkan pelajaran bagi guru yang sedang berkhidmat akan merosot secara mendadak mulai tahun ini.

    Guru yang sedang menyambung pelajaran di universiti mungkin ada yang akan berhenti dan kembali semula ke sekolah lama.

    Guru yang menamatkan pelajaran dan sedang berkhidmat kebanyakannya akan hilang motivasi dalam menjalankan tugas mereka.

    Pendedahan ini sebenarnya bukan untuk mendedahkan kelemahan mana-mana pihak tetapi untuk menjelaskan keadaan sebenarnya.

    Kita tidak mahu keadaan ini memberi gambaran dan kesan tidak baik kepada mutu pendidikan negara.

    Pendedahan ini bertujuan mencari resolusi yang terbaik, jauh sekali untuk menjemukan pembaca akhbar.

    Ia bukan juga untuk menidakkan usaha keras yang dijalankan oleh kerajaan. Kaji dahulu kelebihan sesuatu keputusan supaya guru lepasan ijazah tidak teraniaya.

    Saya harap pihak berkuasa mengkaji teliti keadaan ini supaya nasib guru berijazah lebih terbela.

    Semoga ini menjadi pencetus kepada tindakan yang lebih konkrit atau sekurang-kurangnya mendapat sedikit perhatian terutama pihak yang membuat keputusan di Kementerian Pelajaran.

    GURU LANJUT PELAJARAN,
    Kuala Lumpur.
  • No comments: