26 July 2009

Cuepacs Mahu Ambil Alih Fungsi Perkhidmatan Potongan Bulanan

Oleh Sajad Hussein

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Cuepacs menggesa Perbendaharaan membenarkannya mengambil alih perkhidmatan potongan bulanan bagi pinjaman sektor awam daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

Ini bagi membolehkan kongres itu memanfaatkan komisen daripada perkhidmatan itu untuk faedah 1.2 juta kakitangan kerajaan.

Setiausaha Agung Cuepacs Ahmad Shah Mohd Zin berkata Angkasa memperoleh kira-kira RM8.1 bilion setahun daripada segi komisen dengan menyediakan perkhidmatan potongan bagi sektor awam dan swasta.

"Daripada amaun ini, 50 peratus disumbangkan oleh kakitangan awam melalui pelbagai potongan," katanya.

Angkasa mengenakan caj 2.5 peratus bagi amaun pinjaman bulanan sebagai komisen bagi perkhidmatan itu.

"Apa yang kami cadangkan kepada kerajaan ialah untuk membenarkan Cuepacs mengambil alih perkhidmatan potongan bagi pinjaman kakitangan awam dan membiarkan Angkasa meneruskan perkhidmatan bagi sektor swasta.

"Jika cadangan itu diterima, ia akan membenarkan Cuepacs menjana kira-kira RM4 bilion setahun daripada perkhidmatan itu," katanya.

Pendapatan itu, katanya akan disalurkan semula kepada kakitangan awam melalui sebuah yayasan dalam bentuk biasiswa, bantuan perubatan, geran dan bantuan kewangan dan material lain.

"Bantuan juga akan diberikan kepada pesara kerajaan, dengan itu dapat mengurangkan beban di pihak kerajaan.

"Ini akan mewujudkan keadaan saling bermanfaat, kerana kakitangan awam dan kerajaan akan mendapat faedah daripada skim ini," katanya.

Ahmad Shah berkata Angkasa tidak menyumbang "apa-apa kepada kakitangan awam," di sebalik menjana pendapatan besar daripada mereka.

Beliau berkata Cuepacs mempunyai keupayaan untuk mengambil alih perkhidmatan potongan itu dan apa yang diperlukannya ialah sedikit bantuan di peringkat permulaan daripada kerajaan untuk menyediakan infrastruktur diperlukan.

"Mungkin kerajaan boleh memberikan kami pinjaman mudah yang kami mampu bayar balik dalam tempoh singkat apabila sistem kami beroperasi," katanya.

Sementara itu, Bernama difahamkan Perbendaharaan dan Pejabat Akauntan Negara bersetuju dengan cadangan itu dan bersedia membantu Cuepacs jika kerajaan meluluskan cadangan itu.

"Menyediakan infrastruktur bukan masalah besar dan ia boleh dilakukan dengan mudah kerana asasnya sudah ada," kata sumber di MAMPU (Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia).

Menurut sumber itu malahan mendapatkan kakitangan berpengalaman bukan satu masalah kerana pegawai berpengalaman daripada Pejabat Akauntan Negara dan jabatan lain boleh dipinjamkan sementara untuk membantu Cuepacs.

-- BERNAMA

Cuepacs Kemukakan Opsyen Ketiga Pekerja PBT

ALOR SETAR, 21 Julai (Bernama) - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan menimbangkan opsyen ketiga terhadap pekerja-pekerja sokongan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) setelah pengurusan sisa pepejal diswastakan.

Presiden Cuepacs Malaysia, Omar Osman berkata, pekerja sokongan PBT mendesak supaya mereka diserapkan ke Perbadanan Sisa Pepejal, selain menangguhkan pelaksanaan penswastaan itu sebelum mendapat persetujuan pekerja.

"Cuepacs tidak membantah pelaksanaan penswastaan tetapi cuma minta opsyen ketiga ditawarkan kepada pekerja PBT, iaitu serapkan pekerja PBT ke Perbadanan Sisa Pepejal," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat mengenai isu penswastaan sisa pepejal dan kebersihan awam zon utara, di sini, Selasa.

Omar berkata, sebelum ini, pekerja PBT diberi dua pilihan, sama ada bersara awal atau bekerja dengan syarikat E-idaman yang akan mengambil alih pengurusan sisa pepejal di Kedah, namun pekerja mendesak supaya mereka diserapkan dalam Perbadanan demi masa depan yang lebih terjamin.

Menurutnya, Cuepacs telah pun menghantar memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, 23 Jun lalu bagi meminta opsyen ketiga itu.

Lebih seribu pekerja dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang hadir pada perjumpaan yang dianjurkan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa-Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae).

Seramai lebih 25,000 pekerja seluruh negara terbabit dalam proses penswastaan itu, 5,000 daripadanya dari Wilayah Utara.

-- BERNAMA

Kemajuan ICT Tuntut Penjawat Awam Berani Berubah - Musa

KOTA KINABALU, 22 Julai (Bernama) -- Ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta arus globalisasi menuntut penjawat awam Sabah perlu berani membuat perubahan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Katanya perubahan dan transformasi perkhidmatan kini merupakan cabaran kepada penjawat awam yang selama ini berada dalam zon selesa.

"Proses pemodenan dan transformasi sebenarnya memerlukan penjawat awam yang berjiwa kental dan pragmatik, bukannya berjiwa pasif dan negatif yang takut akan perubahan.

"Inisiatif pemodenan dan transformasi ini juga adalah sebahagian daripada usaha kita untuk bergerak seiring dengan proses globalisasi dan kemajuan ICT yang berlaku dan berubah dengan sangat pantas," katanya pada majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Ketua Menteri dan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Katanya penjawat awam negeri harus berani menghadapi transformasi dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan mengikut keadaan semasa.

Musa juga meminta penjawat awam di negeri ini mempertingkatkan komunikasi dengan Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing bagi mempercepatkan projek pembangunan untuk rakyat.

"Saya tidak mahu ada penjawat awam yang tidak berbincang atau berkomunikasi dengan ADUN atau orang bawahan mereka. Apabila projek-projek pembangunan lewat siap, tidak ikut jadual, rakyat nanti akan susah dan ini akan menjejaskan imej kepimpinan kerajaan secara keseluruhannya," katanya.

Musa juga berkata Sabah mempunyai agenda pembangunan besar iaitu Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang seharusnya sudah dilaksanakan sekarang.

"Kita sudah ada perancangan, ada orang yang boleh melaksanakannya, ada peruntukan, semuanya ada. Sepatutnya kita tidak ada alasan untuk melewatkan kerja.

"SDC merupakan projek pembangunan yang holistik. Tidak ada satu daerah pun yang ketinggalan dalam projek ini. SDC perlukan fokus, komitmen dan kerjasama yang kuat dan padat daripada semua pihak," katanya.

-- BERNAMA

Penjawat Awam Beri Projek Pada Saudara Mara Juga Dikira Rasuah - Zakaria

KUANTAN, 22 Julai (Bernama) -- Para penjawat awam yang didapati memberikan projek tertentu kepada saudara mara mereka boleh didakwa atas kesalahan jenayah rasuah mengikut tafsiran rasuah yang diperluaskan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Zakaria Jaafar berkata, ramai penjawat awam ketika ini dilihat tidak sedar dengan perluasan skop tafsiran jenayah rasuah mengikut akta terbabit.

"Tafsiran saudara mara itu meliputi mentua, menantu, anak saudara, bapa saudara, emak saudara dan sepupu orang tertuduh.

"Sekiranya SPRM dapat membuktikan penerima terbabit mempunyai hubungan saudara, kami tidak akan teragak-agak untuk mendakwa tertuduh yang memberikan projek berkenaan atas kepentingan-kepentingan tertentu," katanya ketika berucap pada majlis perasmian peletakan Batu Asas Kompleks Pejabat SPRM Pahang di sini, Rabu.

Kompleks baru SPRM Pahang yang bernilai RM20 juta itu dijangka siap pada Mei tahun depan.

Turut hadir Pengarah SPRM Pahang Sutinah Sutan.

-- BERNAMA

20 July 2009

Guru Tabika Kemas Taraf Diploma

LENGGONG, 19 Julai (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) sedang melatih semua guru tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) supaya mempunyai kelayakan diploma sebelum 2012, kata Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata program berkenaan menjadi keutamaan kementerian buat masa ini sebelum tumpuan diberikan terhadap usaha memastikan semua kelas tabika dikendalikan di bangunan sendiri.

Katanya usaha melatih guru berkenaan dijalankan dengan kerjasama Pusat Program Kecemerlangan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (Permata).

"Kini hampir 99 peratus daripada 8,300 guru tabika Kemas berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia dan kita berharap masing-masing mempunyai diploma dalam bidang berkaitan bagi tempoh tiga tahun akan datang," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis meletakkan batu asas pembinaan Kompleks Komuniti Bestari (KKB) Parlimen Lenggong di sini Ahad.

Mohd Shafie berkata penambahbaikan kualiti pendidikan guru Kemas itu diberi keutamaan kerana kerajaan tidak mahu sekiranya semua prasarana tabika Kemas dinaiktaraf namun pada masa sama kualiti tenaga pengajarnya masih di takuk lama.

"Kita akan beri tumpuan kepada pengisian tabika terbabit sebelum usaha-usaha berkaitan pembangunan fizikal premis dan sebagainya dilaksanakan," katanya ketika ditanya mengenai masalah tabika Kemas yang menumpang dan menyewa bangunan.

Kemas ketika ini mempunyai lebih 8,000 premis tabika di seluruh negara melibatkan hampir 100,000 kanak-kanak.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie yang juga Naib Presiden Umno berkata pelbagai cadangan berhubung pindaan perlembagaan parti yang dikumpulkan menerusi semua Umno bahagian yang memulakan mesyuarat di seluruh negara akan menjadi panduan kepada pucuk pimpinan.

Katanya pimpinan parti mahu mendapat pandangan akar umbi berhubung pindaan perlembagaan dan suara berkenaan adalah penting supaya dapat dinilai sama ada pandangan pimpinan dan akar umbi adalah selari.

Pandangan dan komen mengenai pindaan perlembagaan yang merangkumi cadangan pemansuhan sistem kuota pencalonan bagi pemilihan Umno akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Umno sebelum dibawa ke perhimpunan agung khas pada 13 Okt ini untuk diluluskan.

-- BERNAMA

APMM Akan Ambil 2,000 Anggota Pelbagai Pangkat

LANGKAWI, 19 Julai (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan mengambil seramai 2,000 anggota pelbagai pangkat pada tahun ini bagi mengisi jawatan yang masih kosong dalam usaha melengkap kekuatan pasukan itu.

Ketua Pengarahnya Laksamana Datuk Mohd Amdan Kurish berkata APMM sebagai agensi penguatkuasa yang bertanggungjawab menjaga perairan negara sentiasa berdepan dengan cabaran serta ancaman luar jangkaan, justeru penambahan anggota perlu dilakukan.

Katanya pengambilan dibuat secara berperingkat-peringkat dan mereka yang terpilih akan mengikuti latihan di pusat latihan di Kuantan, Pahang sebelum ditempatkan di semua wilayah dan unit APMM.

Enam hingga 10 peratus wanita akan diambil bagi mengisi jawatan kosong itu, katanya pada kejohanan dan ujian kemahiran menembak senjata api APMM di Lapang Sasar Antarabangsa Langkawi (Lisram) di sini Ahad.

Hampir 200 anggota APMM pelbagai pangkat daripada enam pasukan dari seluruh negara menyertai kejohanan itu.

Katanya APMM kini mempunyai 3,000 anggota di seluruh negara dengan 300 daripadanya adalah wanita yang ditugaskan di pelbagai unit termasuk di kapal-kapal.

Mohd Amdan berkata APMM juga akan menubuhkan unit penyelam bagi menjalankan tugas-tugas operasi serta mencari dan menyelamat (SAR).

"Bilangan anggota unit itu belum dipastikan, bagaimanapun semua pejabat wilayah telah mempunyai anggota penyelam ini bagi memudahkan ibu pejabat APMM untuk menubuhkan unit itu dalam membantu kerja-kerja operasi dan SAR," katanya.

Beliau turut menyarankan agar individu-individu yang bersara awal daripada jabatan atau agensi kerajaan memohon untuk bertugas dengan APMM tanpa mengikuti latihan kerana pusat latihan yang sedia ada terhad.

"Anggota APMM perlu bersiap sedia dengan pelbagai kelebihan dan kebolehan dari segi rohani dan jasmani termasuk kecekapan menembak sebagai latihan bagi meningkatkan kemahiran menembak," katanya.

-- BERNAMA

BPA Terima Aduan Kelewatan Agensi Perkhidmatan Awam

KOTA BELUD, 19 Julai (Bernama) -- Kelewatan atau tiada tindakan segera untuk menyelesaikan masalah berkaitan perkhidmatan awam merupakan aduan tertinggi yang diterima oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) di seluruh negara dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah (Aduan) biro, Aziz Ismail berkata aduan tersebut merupakan 31.5 peratus daripada keseluruhan 6,337 aduan yang diterima.

Ia diikuti dengan aduan berhubung kualiti perkhidmatan yang tidak memuaskan termasuk perkhidmatan kaunter dan layanan telefon sebanyak 18.4 peratus, tindakan tidak adil (16.5 peratus) dan kegagalan penguatkuasaan (10 peratus), katanya.

"Perkara ini turut memberi persepsi buruk rakyat terhadap perkhidmatan awam sebagai penyusah bukannya sebagai pemudah cara," katanya kepada pemberita semasa Program Kaunter Aduan Bergerak Bersepadu anjuran BPA dengan Pejabat Daerah Kota Belud, di sini Ahad.

Program itu disertai oleh 21 agensi perkhidmatan awam di bawah naungan kerajaan negeri dan persekutuan.

Aziz berkata daripada 6,337 aduan yang diterima itu, 4,281 kes atau 67.6 peratus berjaya diselesaikan.

-- BERNAMA

16 July 2009

Bonus tetap sektor awam

Cuepacs syor kadar faedah pinjaman perumahan dikurang

KUALA LUMPUR: Majlis Kongres Cuepacs meluluskan cadangan menuntut kerajaan membayar bonus tetap setiap tahun dengan menggabungkan elemen imbuhan itu dalam skim perkhidmatan kakitangan awam.

Ini adalah antara beberapa tuntutan baru yang akan dikemukakan kepada kerajaan sebagai sebahagian daripada kajian semula syarat perkhidmatan penjawat awam.

Pada masa ini, bonus diberi mengikut budi bicara kerajaan

berdasarkan kemampuannya, tidak seperti sektor swasta yang menjadikannya sebagai amalan tahunan. Pada waktu yang baik, 1.2 juta penjawat awam menikmati bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000.

Dalam mesyuarat di Ipoh, baru-baru ini, Cuepacs juga mencadangkan supaya kadar faedah pinjaman perumahan dikurangkan daripada empat peratus sekarang kepada satu peratus setiap tahun.

Sumber Cuepacs memberitahu, dalam memorandum yang akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak lama lagi, kongres itu turut menuntut perubahan bagi bayaran gantian cuti rehat daripada maksimum 150 hari pada masa ini kepada jumlah sebenar cuti tahun yang tidak digunakan yang dikumpul seseorang pegawai.

Gantian cuti rehat adalah bayaran tunai bagi cuti tahun yang tidak digunakan yang dikumpul oleh seseorang pegawai sepanjang perkhidmatannya dengan kerajaan.

Satu lagi perubahan besar yang dituntut Cuepacs ialah berhubung pengiraan pencen.

Cuepacs mencadangkan supaya formula pencen sekarang yang dibuat berdasarkan gaji pokok terakhir, ditukar dengan memasukkan semua elaun.

Ini bermakna apabila pengiraan pencen dibuat, semua elaun perumahan, kos hidup, makanan, perjalanan, pemandu, kesusahan dan keraian juga perlu dimasukkan kepada gaji pokok terakhir.

Tuntutan lain ialah:

* Cuti tahun bagi menjaga anak yang sakit dengan tempohnya bergantung kepada tempoh keuzuran itu.
* Bayaran balik bagi implan gigi dan rawatan mata.
* Sistem kenaikan matriks digantikan dengan sistem linear dengan tambahan lima kenaikan, dan
* Mewujudkan skim sub-profesional bagi pemegang diploma.

Sumber itu berkata, pemimpin Cuepacs begitu optimis bahawa kerajaan akan mempertimbangkan cadangan mereka dengan fikiran terbuka. - Bernama

15 July 2009

Kerajaan laksana sistem rating

Berita Harian

Agensi KDN perintis kaedah tekan butang warna nilai perkhidmatan

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memulakan pelaksanaan sistem rating oleh pelanggan kepada petugas kaunter jabatan dan agensinya berdasarkan lampu yang akan dipasang di kaunter.

Melalui cara itu, pelanggan akan menekan butang lampu yang mempamerkan warna tertentu bagi menunjukkan tahap kepuasan mereka atas perkhidmatan dan layanan diberikan petugas kaunter, sebelum beredar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikatakan tertarik dengan penggunaan sistem itu selepas melihat pelaksanaannya ketika membuat lawatan rasmi ke China, baru-baru ini.

Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah diarah melaksanakan sistem itu sebagai perintis, sebelum diperluaskan ke jabatan dan agensi kerajaan lain.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, berkata pihaknya menerima arahan bagi memulakan sistem rating berdasarkan warna lampu itu.

“Kita akan pasang lampu di kaunter, umpamanya jika pelanggan menekan butang lampu hijau bermakna mereka berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan, tetapi jika mereka menekan butang merah bermakna sebaliknya.

“Dengan cara ini, petugas kaunter akan menjadi lebih bertanggung jawab dan berusaha memastikan pelanggan memberi rating terbaik.

“Namun, jika petugas kaunter melakukan tugas sambil lewa, pelanggan memberikan rating yang boleh memalukan petugas berkenaan atau dengan kata mudah ‘sendiri malu’ kerana pelanggan lain yang menunggu giliran dapat melihat tahap perkhidmatan mereka,” katanya ketika ditemui Berita Harian di sini.

Abdul Rahman berkata, sistem rating itu akan dijadikan ukuran dan penilaian prestasi kerja petugas di Jabatan Imigresen.

“Sudah tentulah sistem itu nanti akan dijadikan rujukan bagi sebarang kenaikan pangkat dan gred petugas kaunter kita,” katanya.

1,000 guru Inggeris dari luar negara

Berita Harian

KOTA KINABALU: Kementerian Pelajaran akan mengambil 1,000 guru pakar dan terlatih subjek bahasa Inggeris dari Australia dan United Kingdom (UK) serta memperkenalkan semula subjek Kesusasteraan Inggeris di sekolah rendah dan menengah, mulai Januari depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kedua-dua langkah berkenaan bertujuan memperkukuhkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, sekali gus melahirkan lebih ramai pelajar yang mampu menguasai bahasa antarabangsa itu.

"Ia sebahagian daripada usaha memantapkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar selepas Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan mulai 2012," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Profesionalisme Pengelola Sekolah Malaysia (PPSSM) Ke-31, di Hotel Beverly, di sini, semalam.

Persidangan selama tiga hari yang bermula kelmarin itu disertai 280 anggota Persatuan Pengelola Sekolah Malaysia. Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh dan Yang Dipertua persatuan itu, Hussin Mustaffa.

Mohd Puad berkata, guru dari Australia dan United Kingdom itu akan disaring terlebih dulu bagi mencapai sasaran melahirkan pelajar fasih berbahasa Inggeris.

"Program itu adalah sebahagian peruntukan RM5 bilion untuk memperkasa pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris bagi tempoh 2011 hingga 2015. Ia turut membabitkan pembinaan makmal bahasa Inggeris yang dilengkapi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan sekolah luar bandar yang tiada guru opsyen bahasa Inggeris mengajar subjek berkenaan menyebabkan pencapaian di kalangan pelajar sukar ditingkatkan.

"Contohnya, di Sekolah Kebangsaan Abai, Kinabatangan, subjek Bahasa Inggeris diajar oleh guru agama yang kurang fasih berbahasa Inggeris.

"Ada juga guru yang sanggup mengajar bahasa Inggeris walaupun penguasaan mereka lemah bagi mengelak dipindahkan ke sekolah lain. Maklumat itu saya peroleh ketika melawat sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak," katanya.

Mengenai langkah memperkenalkan semula subjek Kesusasteraan Inggeris, beliau berkata, sebahagian besar pelajar yang mengambil subjek itu pada 1950-an hingga 1970-an mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Katanya, selain Kesusasteraan Inggeris, kementerian itu juga bersedia mempertimbangkan pengenalan bahasa lain sebagai subjek elektif seperti bahasa Jerman, Perancis, Sepanyol dan Jepun pada masa depan kerana ia semakin penting pada peringkat antarabangsa.

Katanya, kementerian sedang mengkaji mengenainya tetapi menegaskan ia bukan bermakna kerajaan akan meminggirkan bahasa Malaysia.