20 July 2009

Guru Tabika Kemas Taraf Diploma

LENGGONG, 19 Julai (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) sedang melatih semua guru tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) supaya mempunyai kelayakan diploma sebelum 2012, kata Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata program berkenaan menjadi keutamaan kementerian buat masa ini sebelum tumpuan diberikan terhadap usaha memastikan semua kelas tabika dikendalikan di bangunan sendiri.

Katanya usaha melatih guru berkenaan dijalankan dengan kerjasama Pusat Program Kecemerlangan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (Permata).

"Kini hampir 99 peratus daripada 8,300 guru tabika Kemas berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia dan kita berharap masing-masing mempunyai diploma dalam bidang berkaitan bagi tempoh tiga tahun akan datang," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis meletakkan batu asas pembinaan Kompleks Komuniti Bestari (KKB) Parlimen Lenggong di sini Ahad.

Mohd Shafie berkata penambahbaikan kualiti pendidikan guru Kemas itu diberi keutamaan kerana kerajaan tidak mahu sekiranya semua prasarana tabika Kemas dinaiktaraf namun pada masa sama kualiti tenaga pengajarnya masih di takuk lama.

"Kita akan beri tumpuan kepada pengisian tabika terbabit sebelum usaha-usaha berkaitan pembangunan fizikal premis dan sebagainya dilaksanakan," katanya ketika ditanya mengenai masalah tabika Kemas yang menumpang dan menyewa bangunan.

Kemas ketika ini mempunyai lebih 8,000 premis tabika di seluruh negara melibatkan hampir 100,000 kanak-kanak.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie yang juga Naib Presiden Umno berkata pelbagai cadangan berhubung pindaan perlembagaan parti yang dikumpulkan menerusi semua Umno bahagian yang memulakan mesyuarat di seluruh negara akan menjadi panduan kepada pucuk pimpinan.

Katanya pimpinan parti mahu mendapat pandangan akar umbi berhubung pindaan perlembagaan dan suara berkenaan adalah penting supaya dapat dinilai sama ada pandangan pimpinan dan akar umbi adalah selari.

Pandangan dan komen mengenai pindaan perlembagaan yang merangkumi cadangan pemansuhan sistem kuota pencalonan bagi pemilihan Umno akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Umno sebelum dibawa ke perhimpunan agung khas pada 13 Okt ini untuk diluluskan.

-- BERNAMA

No comments: