12 June 2009

Kerajaan Akan Mengambil Lebih Ramai Kakitangan Awam

PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) giat berusaha memenuhi 50,000 kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam menjelang akhir tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah.

Beliau berkata kekosongan itu termasuk 5,000 jawatan doktor, 5,000 jururawat, 300 jurutera, 800 Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan yang lain bagi pelbagai kategori pegawai biasa dan kakitangan sokongan.

Kerajaan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melanjutkan pendidikan dalam bidang perubatan untuk membantu kerajaan mengatasi kekurangan doktor, katanya kepada Bernama di sini.

Beliau menambah bahawa lebih banyak biasiswa dan pinjaman diperoleh untuk rakyat Malaysia mengikuti kursus perubatan tempatan dan luar negara.

Pada masa yang sama, katanya Kementerian Kesihatan mengkaji kemungkinan mengambil doktor asing untuk memenuhi kekosongan itu.

Murugiah berkata sungguhpun jumlah jururawat yang sedang dilatih mencukupi di negara ini, kebanyakkannya berminat untuk berkhidmat di luar negara kerana gaji dan kemudahan yang lebih baik.

Beliau berharap rakyat Malaysia mengambil peluang ini untuk memenuhi pelbagai kekosongan kerana kerajaan telah memperbaiki skim gaji dan kemudahan untuk kakitangan awam.

Mereka yang berminat boleh memohon jawatan ini melalui dalam talian www.spa.gov.my.

Untuk keselesaan pemohon luar bandar khasnya di Sabah dan Sarawak, beliau berkata SPA akan menjalankan temuduga di bandar kawasan itu.

-- BERNAMA

700 Penjawat Awam Sertai Kejohanan Empat Hari Di Alor Setar

ALOR SETAR, 12 Jun (Bernama) -- Seramai 700 penjawat awam dari seluruh negara termasuk dari angkatan tentera, polis dan jabatan penjara mengambil bahagian dalam Kejohanan Bola Sepak Veteran dan Sepak Takraw, anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (Maksak) di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini.

Kejohanan empat hari itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak Jumaat.

Dalam ucapannya pada majlis itu Azizan berkata kejohanan-kejohanan sukan dapat dijadikan wadah untuk mengeratkan hubungan sesama penjawat awam.

"Pertemuan-pertemuan melalui kejohanan seperti ini dapat membina hubungan yang lebih erat melalui interaksi sesama mereka, sekaligus menyediakan platform terbaik untuk bertukar pengetahuan dan pengalaman," katanya.

Menurutnya aktiviti sukan seharusnya membantu meningkatkan produktiviti dan menjadikan penjawat awam lebih aktif, berdaya tahan dan berdisplin selain menyemarakkan semangat berpasukan.

-- BERNAMA

06 June 2009

Puji Hospital Kajang

Utusan Online

PADA 28 Mei lalu, ibu kami yang berumur 75 tahun telah dimasukkan di Hospital Kajang kerana tapak kakinya tertusuk papan lantai rumah akibat terjatuh di kampung. Lebih memburukkan lagi keadaan, ibu kami menghidap diabetes.

Apa yang kami lalui semasa proses pendaftaran untuk ibu bertemu doktor, urusan x-ray, pendaftaran ke wad dan sebagainya, semua berjalan lancar walaupun ketika itu agak ramai pesakit lain.

Perkhidmatan cemerlang ini berterusan lagi semasa ibu kami ditempatkan di wad 4, katil 42 pada hari yang sama. Walaupun pada ketika itu, wad 4 terlalu ramai pesakit namun layanan daripada para doktor, jururawat dan pelatih-pelatih jururawat daripada UPM dan MAHSA dengan diawasi oleh pegawainya serta pengawal keselamatan amat baik sekali terhadap ibu saya dan juga kepada kami sekeluarga.

Dengan penuh hormat, mereka memberi rawatan dan layanan yang cemerlang sehingga kami merasakan Hospital Kajang terutamanya wad 4 adalah salah sebuah hospital kerajaan dan wad yang terbaik pada kami.

Pernah kami terlihat dan terpegun dengan seorang jururawat sedang menyuap nasi kepada pesakit yang agak kritikal keadaannya.

Sedar tak sedar, selama 42 hari ibu kami berada di wad 4, Hospital Kajang dengan menghadapi dua kali pembedahan membuang isi-isi tapak kaki yang rosak sehinggalah pada tarikh 8 Mei, ibu dibenarkan keluar.

Jasa Dr. Noorul Hashimah, Dr. Azmeen, Dr. Teh, serta semua staf di Wad 4 Hospital Kajang tetap di dalam ingatan kami sekeluarga.

Kesal Hospital Kuala Terengganu

Utusan Online

KEBELAKANGAN ini, ramai yang mempertikaikan etika kerja doktor. Saya adalah salah seorang mangsa ketidakprofesionalan doktor.

Ia melibatkan ayah saya yang meninggal dunia lima hari lepas kerana penyakit barah usus.

Layanan dan sikap sambil lewa amat ketara berlaku di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Ucapan terima kasih kami kepada semua kakitangan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana berusaha keras lebih sebulan yang lalu mengenal pasti serta mengubati penyakit ayah saya tetapi malang ia telah merebak teruk dan tidak boleh diubati lagi.

Sebelum ke PPUM, ayah saya dimasukkan tiga kali ke wad 7A/B HSNZ Kuala Terengganu. Dalam masa lebih daripada sebulan, proses barium swallow hanya dilakukan selepas dua minggu ayah saya berada di hospital. Peralatan seperti CT Scan dan MRI mungkin terlalu mahal untuk digunakan kepada pesakit seperti ayah saya.

Setelah ayah kami disahkan tiada penyakit, kami tidak berpuas hati dan menghantar beliau ke klinik biasa. Doktor tersebut yang mencadangkan kami menghantar ayah ke PPUM kerana hairan mengapa HSNZ tidak membuat pemeriksaan lanjut menggunakan peralatan tersebut.

Setelah dua minggu di PPUM, doktor di situ mencadangkan ayah saya dibawa pulang kembali ke HSNZ Kuala Terengganu memandangkan ia semakin kritikal.

Setelah hampir dua minggu di HSNZ Kuala Terengganu dan ayah tidak boleh menjamah apa-apa makanan dan ubatan pepejal, maka saya sekeluarga bersetuju membawa ayah pulang.

Sekali lagi kami terkejut kerana dibekalkan dengan vitamin dan ubatan pepejal seberat hampir 500 gram. Semua doktor dan jururawat di situ tahu bahawa sepanjang berada di situ, ayah tidak boleh makan. Apakah gunanya ubatan tersebut?

Di sini kami ingin menyatakan rasa amat terkilan atas perkhidmatan sambil lewa HSNZ Kuala Terengganu.

Kepada anda, tiada ucapan terima kasih kami berikan. Cuma harapan kami, apa yang berlaku kepada keluarga kami tidak akan berlaku kepada orang lain.

Pihak HSNZ tidak berada di tempat keluarga pesakit untuk merasai tekanan bila mana ayah yang sakit dikatakan tiada penyakit, hanya dimasukkan air dan dirujuk kepada pakar jiwa.

Skim bomba jatuhkan maruah anggota

Utusan Online

SKIM perkhidmatan kakitangan bomba pernah disifatkan oleh sebuah akhbar sebagai skim yang kelam-kabut.

Memang benar skim perkhidmatan itu memang kelam-kabut, malah menjatuhkan maruah anggota.

Di sini saya akan jelaskan apa yang dikatakan kelam-kabut serta menjatuhkan maruah anggota.

Rata-rata dikatakan skim ini hanya memberi keuntungan kepada pihak atasan. Jika dulu jawatan Ketua Pengarah bukan JUSA tetapi dengan skim baru ini Ketua Pengarah bergelar JUSA.

Tidak cukup dengan gelaran, tanda pangkat juga dinaikkan daripada tiga bintang ke empat bintang.

Gelaran dan pangkat ini juga menaikkan lagi gaji serta elaun. Tetapi bagaimana pula dengan anggota bawahan?

Di sini saya jelaskan skim lama anggota bawahan kumpulan C terdiri daripada Jawatan Pegawai Bomba I (KB24), Pegawai Bomba II (KB22), Pegawai Bomba III (KB17) manakala kumpulan D terdiri daripada Ketua Ahli Bomba/Sarjan (KB16), Ahli Bomba Kanan/Koperal (KB14) dan Ahli Bomba (KB11).

Di bawah skim baru ini tiada lagi kumpulan D. Tetapi kumpulan C daripada Pegawai Bomba III hingga ke Ahli Bomba disatukan menjadi gelaran Pegawai Bomba.

Jika skim lama Pegawai Bomba III (KB17) ada dua paku di atas bahu, Ketua Ahli Bomba/Sarjan (KB16) berpangkat tiga line di bahu, Ahli Bomba Kanan/Koperal (KB14) berpangkat dua line di bahu dan gaji serta elaun berbeza mengikut pangkat.

Apa yang buatkan anggota bawahan terkilan ialah daripada pangkat Ahli Bomba Kanan/Koperal hingga ke Pegawai Bomba III pangkat diturunkan serta gaji dan elaun sama dengan Ahli Bomba yang kini bergelar Pegawai Bomba.

Mana jawatan yang selama ini dipegang hasil daripada peperiksaan dan temuduga.

Untuk memegang jawatan Pegawai Bomba III terpaksa menjalani ujian jabatan serta temuduga sampai tiga kali dan terpaksa menjalani kursus induksi selama tiga bulan di Pusat Latihan Kuala Kubu Baru, Selangor.

Pegawai Bomba II serta Pegawai Bomba I juga turut mengalami nasib yang sama.

Jika mengikut perancangan tanda pangkat baru Pegawai Bomba II yang memakai tanda pangkat dua paku di atas bahu akan memakai tanda pangkat baru iaitu dua line di atas bahu.

Pegawai Bomba I yang dulunya memakai tanda pangkat tiga paku di atas bahu, kini kemungkinan akan memakai tanda pangkat dua line di atas bahu.

Persoalannya, mana maruah pegawai ini yang selama ini berhadapan dengan masyarakat sewaktu menjalankan tugas? Sudah tentu masyarakat akan mengatakan pegawai berkenaan telah dikenakan tindakan disiplin.

Kebanyakan anggota yang menjadi mangsa skim baru ini terdiri daripada orang lama dalam jabatan bomba dan yang akan bersara wajib.

Bersara dengan jawatan Ahli Bomba (Pegawai Bomba), yang mengikut skim lama mereka terdiri daripada orang yang ada pangkat.

Apa yang ketara sangat dalam jabatan bomba dengan skim baru ini adalah menampakkan orang atasan tidak menghargai anggota lama terutama anggota bawahan.

Melalui skim baru ini jumlah perjawatan akan bertambah. Contoh skim lama di Bahagian Operasi Negeri tiada perjawatan KB32. Siapa yang akan mengisi kekosongan ini kalau tidak pihak atasan iaitu K29.

Tetapi lain pula dengan anggota bawahan daripada Pegawai Bomba I hingga ke Pegawai Bomba (Ahli Bomba), ia telah dikecilkan jawatan.

Kalau skim lama di unit-unit ada Pegawai Bomba II, tetapi skim baru tiada jawatan berkenaan.

Semua dimasukkan ke bahagian operasi. Orang tua yang akan bersara terpaksa bertungkus lumus dalam operasi memadam kebakaran.

Sedangkan satu ketika, anggota bawahan pernah dilantik dan dinaikkan pangkat sebagai pegawai atasan.

Beginilah nasib pegawai bawahan. Persatuan Bomba hanya berjuang untuk kepentingan sendiri. Tidak dibenarkan bersuara.

Sekian keluhan daripada anggota yang teraniaya.

Ahmad Said Kecewa Dengan JKR

KUALA TERENGGANU, 6 Jun (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Ahmad Said hari ini melahirkan rasa kecewa terhadap Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana tidak mengawasi daripada awal pembinaan Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Burok di sini.

Katanya, beliau sering menegur JKR supaya memantau projek yang menelan belanja RM18 juta itu terutama daripada segi reka bentuk dan bahan yang digunakan kerana ia kurang sesuai.

"Besi yang digunakan untuk membina pusat akuatik ini ada sesetengahnya sudah berkarat dan hampir tercabut. Ini baru setahun, kalau setahun atau dua tahun akan datang, benda ini boleh runtuh.

"Nasib baik bumbung pusat akuatik ini diperbuat daripada kanvas, kalau diperbuat daripada benda berat, suatu masa nanti ia akan jatuh," katanya selepas meninjau pusat akuatik berkenaan hari ini.

Isu pusat akuatik ini timbul selepas berlaku runtuhan pada sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak di sini beberapa hari lalu.

Ahmad meminta JKR melihat semula pusat akuatik itu kerana banyak struktur binaannya mengalami kerosakan dan bagi mengelak berulang kejadian yang menimpa stadium berkenaan.

Beliau berkata JKR sepatutnya menerima teguran itu dengan hati terbuka dan berasa malu kerana projek berkenaan menelan belanja berpuluh juta ringgit dan tidak sempurna.

Ahmad turut menafikan dakwaan bahawa pusat akuatik tersebut bocor sehingga menyebabkan air daripada kolam renang mengalir ke premis-premis perniagaan di sebelahnya.

"Dakwaan ini tidak betul, sebab kalau kita lihat paras air kolam adalah stabil. Kalau bocor, tentu parasnya surut," katanya.

Beliau berkata air yang dikatakan bocor itu sebenarnya ialah air hujan yang turun melalui tangga dan mengalir ke kawasan premis perniagaan tersebut.

"Kita perlu pasang paip besar di setiap penjuru untuk mengalirkan air dari atas bumbung ke longkang," katanya.

-- BERNAMA

04 June 2009

Agensi khas pengangkutan awam

Utusan Online

BERITA baik untuk rakyat Malaysia apabila Perdana Menteri bersetuju melanjutkan tempoh perkhidmatan Tan Sri Mohd. Sidek Hassan sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) setahun lagi sehingga Jun 2010. Keputusan itu adalah langkah yang bijak memandangkan Tan Sri Mohd. Sidek masih diperlukan untuk menjalankan transformasi perkhidmatan awam kepada pentadbiran yang boleh merealisasikan Gagasan 1Malaysia: Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Dalam tempoh Tan Sri Mohd. Sidek menjadi KSN kualiti perkhidmatan awam Malaysia telah dapat dipertingkatkan dan imej perkhidmatan awam menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Sebagai rekod kita boleh catatkan pelbagai penambahbaikan perkhidmatan awam yang diperkenalkan yang menarik minat rakyat, antaranya:

n Beliau memperkenalkan pendekatan problem solving (penyelesaian masalah). Banyak masalah besar yang telah berjaya diselesaikan melalui kaedah ini. Misalnya masalah pelaksanaan projek Rancangan Malaysia ke Sembilan. Melalui campur tangan Tan Sri Mohd. Sidek prestasi perbelanjaan peruntukan RMK9 bagi tahun 2008 telah mencapai 97 peratus - satu pencapaian yang sungguh cemerlang. Beliau juga telah menyelesaikan masalah pelaksanaan konsep IBS dalam industri pembinaan di Malaysia, masalah projek rumah terbengkalai dan penggubalan dasar dan manual pengurusan aset kerajaan.

n Beliau memperkenalkan penggunaan ICT dalam pengurusan kerajaan. Kejayaan ini telah terbukti apabila pemantauan projek pembangunan dibuat secara elektronik dan pengurusan sumber manusia melalui sistem HARMIS dilaksanakan.

n Satu lagi kejayaan besar beliau apabila mengetuai PEMUDAH menyelesaikan pelbagai masalah pengurusan perniagaan seperti mempercepatkan kelulusan lesen perniagaan, kelulusan CF dan sebagainya. Apa yang penting konsep pensyarikatan Malaysia berjaya dibangunkan di peringkat pengurusan tertinggi negara.

Apabila kerajaan menekankan gagasan 1Malaysia, adalah suatu cabaran besar yang saya percaya Tan Sri Mohd. Sidek sedia untuk menangani. Kita akan lihat nanti satu persatu idea dan tindakan daripada sektor awam bagi melaksanakan 1Malaysia. Sungguhpun begitu, suatu isu yang menjadi permasalahan kepada rakyat kota ialah kos pengangkutan yang tinggi akibat dari kurang cekapnya sistem pengangkutan awam di bandar utama, khususnya di Lembah Klang, masih berlaku.

Pada masa ini, kos hidup keluarga berpendapatan sederhana telah meningkat akibat kurang yakin mereka untuk menggunakan pengangkutan awam. Walaupun dengan pendapatan mereka yang tidak seberapa mereka tidak begitu mampu untuk memiliki kenderaan sendiri, tetapi mereka terpaksa membelinya juga sebab mereka lebih yakin dapat tiba di tempat kerja pada waktu yang dikehendaki.

Akibat pemilikan kenderaan sendiri kos pengangkutan mereka meningkat lebih 100 peratus. Bukan itu sahaja mereka juga telah menyukarkan penghuni lain di taman perumahan kerana terpaksa meletak kenderaan di tepi jalan, di taman kanak-kanak dan di kawasan surau kerana kekurangan tempat letak kenderaan.

Kerajaan memang telah melaksanakan pelbagai program membaiki perkhidmatan pengangkutan awam tetapi hasilnya masih jauh dari menyakinkan. Saya percaya Tan Sri KSN mempunyai idea bernas untuk mengatasi masalah ini, tetapi suatu tindakan yang kerajaan terlupa ialah tiada satu agensi yang boleh memastikan kenderaan awam diyakini dan mampu tiba ke destinasi pada waktu yang dikehendaki penumpang.

Jadi, kalau agensi yang sedia ada diarah buat demikian, pelbagai kesilapan perancangan menggunakan pengangkutan awam, terutama bas, dapat diatasi.

Barangkali idea ini kecil, tetapi kalau Tan Sri KSN dapat melaksanakannya saya yakin ia boleh membantu mengatasi masalah penghuni kota terutama di Lembah Klang dari segi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, terutama bas.

DR. ABDUL MUNIT KASMIN

Pegawai Tadbir dan Diplomatik

Tukar: Isteri doktor tidak dilayan

Utusan Online

KATA Nabi kita "Syurga di bawah tapak kaki ibu dan syurga isteri di bawah tapak kaki suami" "Tempat isteri adalah di sisi suami." Kerana berpegang pada kata-kata inilah saya terpaksa "buka mulut" di sini.

Saya merupakan seorang doktor dan kini bertugas di Hospital Kuala Terengganu hampir setahun. Saya berkahwin setahun yang lalu dan baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan kami.

Kami telah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan pada 28 Februari dan kini anak kami berusia hampir 3 bulan. Isteri saya seorang guru bertugas di sekolah menengah di Bandar Tenggara, Johor sejak tiga tahun lalu.

Untuk pengetahuan para pembaca dan Menteri Pelajaran khususnya, telah tiga kali isteri saya memohon untuk bertukar sekolah ke Terengganu tetapi ditolak mentah-mentah.

Saya ingin bertanya, benarkah tiada kekosongan guru bagi subjek kimia, fizik atau sains di Terengganu? Atau borang permohonan isteri saya hanya diletakkan di tepi dinding tanpa dilihat dan kemudian Kementerian Pelajaran menolak permohonan isteri saya, seperti yang diceritakan kawan saya apabila beliau sendiri ke kementerian untuk merayu bagi pihak isteri beliau dulu?

Saya tidak percaya pada cerita beliau, tetapi saya kini semakin percaya selepas tiga kali berturut-turut permohonan isteri saya yang ditolak. Isteri saya menangis kerana tidak mampu menjadi isteri yang baik dan kini apabila sudah mempunyai anak, masalah semakin buruk. Kata orang berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Entah-entah anak saya tidak mengenali siapa bapanya sendiri kerana berjauhan. Jauh di sudut hati kami, kami ingin membesarkan anak kami sendiri, mengikut acuan kami sendiri menggunakan tangan kami sendiri dan bukan di tangan orang lain. Kini kami hanya mempunyai beberapa pilihan:

n Isteri saya meletak jawatan serta merta.

n Memohon lagi sampai berpuluh tahun tanpa jemu.

n Menggunakan "kabel" atau merasuah pegawai Kementerian Pelajaran supaya memberi kelulusan dalam permohonan pertukaran guru bagi isteri saya (saya harap saya tidak perlu melakukan semua ini).

n Mengundi pembangkang dan menggalakkan orang lain mengundi pembangkang kerana kerajaan tidak peka pada kesusahan rakyat dan tidak peka kepada kehendak agama.

Akhir kata, bantulah kami membentuk generasi Malaysia yang unggul di masa hadapan. Saya harap rakyat Malaysia dapat memberikan pendapat untuk saya membuat pilihan yang rumit ini. Terima kasih.

SUAMI KECEWA

Hospital Sultanah Nur Zahirah,

Terengganu

Pejabat Tanah Grik tiada pegawai saksi

KELMARIN, kira-kira jam 11.30 pagi, saya ke Pejabat Tanah Gerik, Perak bagi melakukan proses pertukaran hak milik tanah atas nama saya dan abang kepada pemilik baru yang telah membeli tanah kepunyaan kami.

Apabila tiba di kaunter untuk membuat proses pertukaran, kami dimaklumkan oleh kerani di kaunter bahawa pegawai yang bertugas untuk menjadi saksi bagi proses pertukaran hak milik tiada di pejabat pada waktu itu. Kerani kaunter memaklumkan bahawa jawatan mereka sebagai kerani tiada kuasa untuk menjadi saksi bagi proses pertukaran hak milik. Ia mestilah disaksikan oleh pegawai lebih tinggi jawatannya.

Persoalannya adakah wajib semua pegawai pergi ke acara rasmi itu dan yang tinggal hanya kerani di pejabat. Sepatutnya, sekurang-kurangnya seorang pegawai yang ada kuasa, tinggal di pejabat untuk melicinkan tugas di kaunter.

YANG KECEWA,
Gerik.

Guru Tingkatan Enam belum disah gred DG41 rasa tersisih

Berita Harian

PENGUMUMAN Jawatan Guru Akademik Tingkatan Enam dari DG41 ke DG44 sekali lagi mengetepikan guru yang dilantik dari DG29 ke DG41 yang sekian lama mengajar di Tingkatan Enam. Walaupun kami sudah mengajar Tingkatan Enam bertahun-tahun lamanya sehingga ada yang dilantik sebagai Penyelaras Tingkatan Enam dan dipanggil memberi ceramah ke sekolah lain tetapi disebabkan belum disahkan jawatan ke gred DG41 dan belum layak menduduki Peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) maka kami terpaksa berputih mata seperti gagalnya kami mendapat DG32 disebabkan kenaikan ke Gred DG41. Dari segi kelayakan mengajar kami memang layak disebabkan ada sebilangan guru yang senasib ditugaskan mengajar Tingkatan Enam lebih daripada 6 tahun tetapi disebabkan lewat mendapat tarikh lantikan dan pengesahan ke Gred DG41, kami terpaksa kehilangan hak untuk terus mengajar di Tingkatan Enam.

Ternyata pengalaman dan kebolehan kami selama ini tidak dipandang oleh pihak berwajib. Walaupun berada di Gred DG41 baru setahun jagung, kami sudah lama diberi tanggungjawab mengajar Tingkatan Enam disebabkan kepakaran dan pengalaman kami. Namun, disebabkan syarat yang ditetapkan, kami tersisih dan terpaksa melakukan tugas baru iaitu mengajar tingkatan yang lebih rendah dan pada masa sama kena pula mengadakan bengkel untuk menunjuk cara mengajar Tingkatan Enam kepada guru akademik Tingkatan Enam yang baru mengambil alih tugas kami. Kami bukan minta disanjung tetapi tolonglah prihatin dengan nasib guru seperti kami kerana kelayakan kami tidak sama dengan kelayakan guru yang sememangnya sejak asal sudah berada di Gred DG41. Kami pula bertahun-tahun menyandang Gred DG29 dan baru beralih ke Gred DG41.

Sukacita saya mengharapkan pihak atasan melihat dan meneliti nasib guru seperti kami yang selalu tersisih dan kurang diberikan perhatian dalam urusan kenaikan pangkat sebegini. Sudahlah selepas tamat belajar di peringkat sarjana muda kami terpaksa menunggu sekurang-kurangnya satu hingga tiga tahun untuk ditemuduga ke Gred DG41, janganlah kami disisihkan pula dalam urusan kenaikan pangkat sebegini. Memang kami akui, pengetua sekolah sentiasa melihat dan mengakui kebolehan kami tetapi kerana syarat yang ditetapkan mereka terpaksa akur bahawa kami tidak layak mengisi borang kerana belum disahkan jawatan ke gred DG41 atau belum menduduki PTK.

CIKGU TINGKATAN ENAM
GRED DG29 - 41,
Sibu, Sarawak