12 June 2009

700 Penjawat Awam Sertai Kejohanan Empat Hari Di Alor Setar

ALOR SETAR, 12 Jun (Bernama) -- Seramai 700 penjawat awam dari seluruh negara termasuk dari angkatan tentera, polis dan jabatan penjara mengambil bahagian dalam Kejohanan Bola Sepak Veteran dan Sepak Takraw, anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (Maksak) di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini.

Kejohanan empat hari itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak Jumaat.

Dalam ucapannya pada majlis itu Azizan berkata kejohanan-kejohanan sukan dapat dijadikan wadah untuk mengeratkan hubungan sesama penjawat awam.

"Pertemuan-pertemuan melalui kejohanan seperti ini dapat membina hubungan yang lebih erat melalui interaksi sesama mereka, sekaligus menyediakan platform terbaik untuk bertukar pengetahuan dan pengalaman," katanya.

Menurutnya aktiviti sukan seharusnya membantu meningkatkan produktiviti dan menjadikan penjawat awam lebih aktif, berdaya tahan dan berdisplin selain menyemarakkan semangat berpasukan.

-- BERNAMA

No comments: