07 April 2008

CUEPACS sedia kompromi sambutan Hari Pekerja

Utusan Online

KUALA LUMPUR 6 April - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak akan memboikot dua sambutan Hari Pekerja Mei depan sekiranya pertemuan mereka dengan kerajaan pada 14 April ini mencapai matlamat.

Presidennya, Omar Osman berkata, pertemuan sembilan pegawai tertinggi CUEPACS dengan Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya pada hari berkenaan bertujuan membincangkan lima tuntutan yang diperjuangkan kesatuan itu sejak September tahun lalu.

Bagaimanapun menurutnya, jika perbincangan itu tidak mendatangkan apa- apa hasil, maka CUEPACS tetap dengan pendiriannya untuk memboikot sambutan yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 3 dan 29 Mei depan.

''Rasanya tidak adil jika kakitangan kerajaan yang kini sedang berjimat cermat menyambut Hari Pekerja secara besar-besaran.

''CUEPACS merasakan ia satu tindakan membazir kerana lebih baik kita menyambut sekali sahaja sebagai simbolik menghargai Hari Pekerja,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan CUEPACS supaya tidak menggunakan pendekatan mengugut kerajaan dalam menyelesaikan isu berbangkit.

Ingatan itu diberikan selepas kesatuan tersebut mengancam akan memboikot dua sambutan Hari Pekerja pada bulan depan jika lima tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Mengulas tindakan berani CUEPACS itu, Omar memberitahu, pihaknya tidak mempunyai niat untuk bertindak kasar tetapi memikirkan penyelesaiannya yang agak lambat dan masih agak samar, menyebabkan CUEPACS bertindak sedemikian.

''Kita berasa lega apabila Perdana Menteri menyatakan kesediaan untuk mengadakan pertemuan bila-bila sahaja sebagai tanda prihatin tentang keresahan ekonomi di kalangan kakitangan awam,'' katanya.

Menurutnya, lima tuntutan CUEPACS ialah bayaran honorarium tahun 2007 sebanyak RM2,000 kepada 1.2 juta kakitangan, kadar pencen mengikut perkhidmatan sebenar, pelanjutan umur persaraan daripada 55 tahun kepada 60 tahun dan pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), elaun kritikal dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP).

''Nilai kesemua tuntutan itu melibatkan perbelanjaan tidak sampai RM2 bilion dan CUEPACS akan memanfaatkan pertemuan tersebut untuk berunding termasuk mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan,'' jelasnya.

Omar berkata, hasil pertemuan dengan kerajaan pada 14 April itu akan disusuli dengan satu mesyuarat di pejabatnya empat hari kemudian bagi memutuskan sama ada CUEPACS menyertai kedua-dua sambutan Hari Pekerja atau tidak.

2 comments:

Anonymous said...

Terima kasih. Kesanggupan untuk duduk berbincang bersama antara Cuepacs dan Kementerian Sumber Manusia diharap membuah hasil kepada semua penjawat awam di Malaysia. Kita tak mau perkara-perkara rhetoric di ulangtayang banyak kali. Membosankan. KSN camno? Masih segan lagi?

9 pegawai Majlis Tertinggi Cuepacs nih spesis Musketeers ke Sorosis. Sumber dalam Cuepacs memaklumkan, hasil derma ikhlas penjawat awam di Malaysia mereka dah berjaya kumpul RM1.5 juta? Nasihat saya, beringat-ingat bila mengurus wang ni brader ... banyak duit tuu. Odit Dalam tolong-tolong jenguk...

Setia Usaha Agung Cuepacs nii saya tak yakin benor.... apasal dia terpilih? Ada ahli Cuepacs bagitau dia ni banyak bawa masalah kepada perkara kewangan di Cuepacs. Betul ke?

Unknown said...

Mengapa setiap kali pengumuman kenaikan gaji atau elaun hanya memberi manfaat kepada satu pihak saja? Kami warga penjawat awam Borneo yang berkhidmat di semenanjung seolah-olah diabaikan..Ambil contoh kenaikan Elaun Kola 100% yang diumumkan tahun lepas hanya dinikmati oleh warga semenanjung sahaja, bagaimana pula nasib warga penjawat awam borneo yang berkhidmat di kawasan sama? Elaun Perumahan tidak pula dinaikkan langsung. Sudahlah Elaun Perumahan Wilayah kami jauh begitu kecil nilainya berbanding yang dinikmati oleh penjawat awam Semenanjung di Borneo. Kamilah yang sewajarnya menerima lebih kadar Elaun Perumahan Wilayah dengan kos hidup begitu tinggi di sini, bukan penjawat awam Semenanjung di Borneo..Yang terkini, kerajaan akan mempertimbangkan kenaikan Imbuhan Tetap Perumahan RM50 kepada RM230 permintaan CUEPACS, sedangkan kami (penjawat awam borneo) di kawasan wilayah tidak menikmati apa-apa, adil tak bagi kami?? Mohon bantuan pihak CUEPACS kaji semula kadar EPW di Kawasan Cheras dan Ampang-Kami mohon perhatian anda yang sewajarnya sebagai pentadbir yang adil iaitu pihak kerajaan Malaysia kerana kami pun warga di dalamnya..