Tingkatkan integriti LPP
Utusan Online
KOTA TINGGI 1 Feb. - Pegawai atau kakitangan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) diseru meningkatkan integriti dalam melaksanakan tugas untuk kepentingan masyarakat peladang.
Pengarah (LPP) Johor, Mohd. Naser Harun berkata, tugas yang diberi perlu ditunaikan dengan penuh ikhlas, jujur dan jangan sekali-kali mengkhianati amanah yang diberi.
"Bersikap jujur dan setia kepada organisasi tanpa menyalahgunakan kuasa serta sentiasa menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab tanpa menyeleweng adalah antara nilai utama dalam etika kerja yang juga sebagai ibadah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada lebih 80 ketua cawangan dan anggota LPP Johor Timur di Dewan Mesyuarat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pengerang, di sini, semalam.
LPP Johor Timur dianggotai Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Tinggi, Mawai, Mersing Utara (Endau), Mersing Selatan, Pengerang, Kulaijaya dan Johor Bahru Timur.
Hadir sama pada majlis itu Pegawai Peladang Daerah LPP Johor Timur, Abdul Jalil Bukhairah dan Pengurus PPK Pengerang, Suriadi Abdul Jalal.
Menurut Mohd. Naser, organisasi yang cemerlang bukan sahaja bergantung kepada sumber jawatan tetapi sangat bergantung kepada kecemerlangan setiap individu yang menganggotainya.
"Ini adalah kerana pekerja merupakan modal insan atau aset bagi kejayaan sesebuah organisasi terbilang dan dapat memberikan perkhidmatan yang memuaskan hati pelanggannya," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, tumpuan harus diberikan kepada usaha yang berterusan bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan dan penyaluran maklumat kepada pelanggan.
No comments:
Post a Comment