Gaji pegawai lulusan sarjana wajar diselaras
Berita Harian
SEJAJAR perkembangan teknologi dan tuntutan cabaran semasa yang memerlukan kemahiran serta kelayakan tinggi menjalankan tugas, ramai penjawat awam menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan.
Saya tidak terkecuali, sudah menamatkan pengajian ijazah lanjutan pada peringkat ijazah sarjana di Universiti Malaya (UM) dengan menggunakan perbelanjaan sendiri dan secara kerja kursus separuh masa.
Walaupun agak perit membahagikan masa dengan tugas harian di pejabat dan hadir ke kuliah perjuangan diteruskan demi menuntut ilmu.
Namun, apa yang membuatkan saya terkilan ialah gaji pegawai seperti saya yang tidak setimpal dengan gaji pegawai lulusan sarjana di beberapa skim perkhidmatan awam lain seperti skim Pensyarah Universiti DS45, atau DM45 yang memperuntukkan gaji hakiki mula RM2,546.05 di skil P1T1 (untuk lantikan terus).
Bermula 1 Januari 2009, Skim Perkhidmatan Pegawai Kanan Polis diberikan perhatian apabila Jabatan Perkhidmatan Awam menambah baik skim itu dengan memberikan peruntukan kemasukan tambahan gaji lebih tinggi bagi pegawai memiliki kelulusan ijazah tinggi (sarjana/PhD) atau kelayakan profesional.
Seorang inspektor polis yang mempunyai kelulusan ijazah sarjana misalnya, ditawarkan menikmati gaji mula lebih tinggi iaitu pada skil gaji YA13, P1T5 (RM2,576.24) sebagai gaji hakiki permulaan (tidak termasuk elaun lain).
Walaupun skim sekarang memperuntukkan syarat kemasukan (peringkat sarjana) dengan gaji mula lebih tinggi (tahap P1T7), kerana skil gaji yang berbeza antara satu skim perkhidmatan dengan perkhidmatan lain, skil gaji itu masih dikira rendah.
Saya berpendapat adalah wajar peruntukan perbekalan diperbetulkan (ke tahap P1T10 - untuk pemegang ijazah sarjana) demi mengiktiraf usaha kami disamping menarik lebih ramai tenaga kerja berkualiti dan berkemahiran tinggi menyertai perkhidmatan awam.
PEGAWAI PERHUBUNGAN PERUSAHAAN,
Kuala Lumpur.
1 comment:
Untuk meningkatkan 'self esteem',mengurangkan rasa inferiority complexed berbanding rakan yang bertugas di swasta dan menyahut cabaran era 'knowledge workers' dalam model ekonomi berpendapatan tinggi; kelayakan sarjana adalah wajar. Pelarasan gaji dapat mendorong pegawai meningkatkan pengetahuan.
Namun, setinggi manapun kelayakan yang ada,penjawat awam yang mampu menonjolkan inovasi, tingkatkan produktiviti dan berprestasi tinggi adalah mereka yang lebih 'berharga'.
Post a Comment