Pahit manis ‘diurus’ penjawat awam
Utusan Online
DALAM usaha Perdana Menteri meningkatkan semangat berbudi bahasa dan tingkah laku di kalangan penjawat awam, saya amat terkilan kerana ada segelintir kakitangan yang berasa bangga dan riak dalam perkhidmatan mereka.
Ini terjadi sendiri kepada saya dan ibu saya yang berusia 63 tahun semasa kami ke sebuah pejabat kerajaan yang tersergam indah di Putrajaya.
Kami ke pejabat itu untuk membuat aduan dan semasa sampai di sana kami telah disuruh ke tingkat 3 iaitu pejabat penguat kuasa.
Saya pun ke tingkat 3 pejabat itu dan ingin berjumpa dengan pegawai yang dimaksudkan.
Lebih kurang setengah jam menunggu tiada pegawai yang melayan kami dan saya telah bertanya kepada seorang pegawai di situ.
Alangkah terkejutnya apabila dia menyatakan: ‘‘Puan, kan saya dah cakap pegawai itu mesyuarat, kalau puan nak tunggu, tunggulah. Kalau tidak puan balik dan datang esok‘‘.
Saya bertanya bagaimana saya hendak membuat aduan sedangkan saya datang dari jauh dan saya tidak boleh datang esok kerana menaiki teksi.
Sekali lagi dia bercakap pada saya: ‘‘Puan nak tunggu, puan tunggulah kalau tidak, pergi ke pejabat cawangan saja. Kami ini ibu pejabat, aduan yang remeh-temeh kami tak ambil’’.
Hampa saya pada hari itu kerana seorang kakitangan kerajaan yang masih muda sanggup bercakap begitu.
Akhirnya saya ke pejabat cawangan di Kajang dan saya rasa itu sajalah yang paling hampir. Saya sampai di pejabat tersebut dan masih dalam keadaan takut akan dilakukan seperti tadi.
Bila tiba di kaunter tersebut, saya dan ibu saya telah dilayan dengan begitu mesra. Saya telah disuruh menunggu untuk berjumpa dengan pegawai di situ. Alangkah terkejutnya saya apabila pegawai yang saya jumpa itu sungguh berhemah dan berbudi bahasa.
Dari segi percakapan dan senyuman tak lekang dari bibir. Terfikir saya alangkah bagus jika semua kakitangan kerajaan seperti itu.
Setelah selesai, saya dan ibu saya pun beredar dari pejabat itu pada waktu yang sama kakitangan kerajaan pulang. Semasa saya menunggu di bawah pejabat itu, pegawai tadi telah menyapa saya dan menyatakan bahawa di sini susah mendapatkan teksi. Beliau bertanyakan arah tuju saya dan saya menyatakan ingin pulang ke Bandar Baru Bangi.
Tanpa disangka dia mengajak saya dan ibu saya menumpangnya kerana dia menyatakan ingin pulang ke Putrajaya.
Sepanjang perjalanan beliau tidak lekang dengan senyuman dan begitu ramah melayan kami sehingga kami selamat sampai di rumah.
Bandar Baru Bangi
No comments:
Post a Comment