02 February 2010

Penjawat awam bidang R&D mesti kreatif

Utusan Online

MELAKA 1 Feb. – Setiap penjawat awam di negeri ini khususnya yang terlibat dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu berfikiran kreatif dan inovatif sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, berkata, ia juga selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menekankan 2010 sebagai Tahun Kreativiti dan Inovasi yang disokong bersama nilai-nilai mulia.

“Pegawai atau kakitangan berkenaan perlu guna kreativiti mereka sendiri untuk mencari kerja di mana saja jabatan mereka diletakkan.

“Mereka perlu berfikiran di luar kotak, macam Jabatan R&D, kalau mereka lama tak buat kerja takut nanti jadi rest and die (rehat dan mati),” katanya.

Mohd. Ali berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan kerajaan negeri di Seri Negeri di sini hari ini.

Menurut beliau, tiada gunanya seseorang kakitangan kerajaan lantang bersuara tetapi masih melakukan sesuatu yang biasa di dalam pasaran negara.

“Setiap daripada kita harus kreatif dan berinovasi, dapat mencari idea, strategi serta pendekatan baru ke arah menembusi pasaran baru atau blue ocean strategy.

“Janganlah kita setakat bersaing sesama sendiri di pasaran tempatan sebaliknya lakukan sesuatu kemajuan yang memberi impak kepada dunia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Ali berkata, kerajaan negeri telah menggabungkan Institut Pengurusan Melaka (IMM) dan Institut Integriti Melaka (IIM) sebelum ini di bawah satu institut dikenali Institut Pengurusan dan Integriti Melaka (Inspim).

IMM dan IIM sebelum ini mempunyai fungsi hampir sama iaitu mengendalikan latihan dan pengendalian seminar, kursus serta bengkel yang dapat meningkat dan mengukuhkan integriti penjawat awam di negeri ini.

“Kita gabungkan kedua-dua institut ini sebagai satu pusat latihan rasmi anggota-anggota kerajaan negeri mahupun Persekutuan.

“Di sini, mereka perlu sentiasa memahami peraturan pentadbiran, kewangan, prosedur kerja, kumpulan meningkat mutu kerja dan sebagainya serta fahami dasar baru yang diperkenalkan Perdana Menteri,” katanya.

No comments: