19 October 2009

Pengurusan Hutan Di Kelantan, Pahang, Johor Dan Sarawak Kurang Memuaskan

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Laporan Ketua Audit Negara 2008 yang dikeluarkan hari ini mendapati pengurusan hutan di Kelantan, Pahang, Johor dan Sarawak kurang memuaskan.

Menurut laporan itu antara faktor yang menyebabkan terjadinya demikian ialah pembalakan haram, pembalakan di kawasan hutan simpan atau taman negara dan kawalan serta penguatkuasaan yang kurang berkesan oleh pihak yang berkenaan.

Pengurusan hutan yang kurang cekap antara lain telah menyebabkan pencemaran sungai, hakisan dan tanah runtuh serta kemusnahan spesies flora dan fauna, menurut laporan itu.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi Negeri Kelantan, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) yang menguruskan hutan di negeri itu dikatakan lebih mementingkan hasil yang diperoleh daripada pemberian kawasan pembalakan berbanding menjaga kepentingan alam sekitar.

"JPNK telah gagal mewartakan semua kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) sebagai Hutan Perlindungan sebagaimana yang dicadangkan.

"Perkara ini boleh menjejaskan keselamatan dan perlindungan hutan yang sepatutnya dilindungi bagi mengekalkan dan memulihara kualiti alam sekitar terutama kawasan perlindungan tanah tinggi melebihi 1,000 m apl (meter atas paras laut)," demikian menurut laporan itu.

Laporan bagi Pahang pula mendapati Projek Ladang Hutan di HSK Lesong, walaupun sedang dilaksanakan dengan kelulusan, tetapi kedudukannya yang terletak di tengah-tengah kawasan itu telah memberi kesan serius terhadap alam sekitar.

"Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) perlu menyediakan satu perancangan khusus dan komprehensif sebelum melaksanakan projek itu dengan mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar dan juga terhadap kawasan HSK yang dimajukan.

"Selain itu, implikasi kepada JPNP dari aspek pemantauan, keperluan guna tenaga, logistik, kos dan masa juga perlu diambil kira," menurut laporan itu.

-- BERNAMA

No comments: