19 October 2009

Kelemahan Dalam Pengurusan Program Pembangunan Modal Insan MOSTI

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Beberapa kelemahan dikesan dalam pengurusan Program Pembangunan Modal Insan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengakibatkan objektif program tidak dapat dicapai sepenuhnya.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Pengurusan Program Pembangunan Modal Insan Dalam Bidang Sains, Teknologi dan Inovasi Tahun 2008, antara masalah lain termasuklah pembiayaan kepada penerima tidak mematuhi syarat kelayakan, kelemahan dalam kontrak perjanjian, kelewatan mengagihkan peruntukan, kegagalan mematuhi syarat perjanjian serta kelemahan pemantauan dan penilaian terhadap pelaksanaan program.

"Kementerian memperuntukkan RM500 juta untuk melaksanakan Program Pembangunan Modal Insan bagi membiayai latihan serta penyelidikan seramai 6,230 pelajar dan pegawai sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (2006 hingga 2010).

"Bagaimanapun, semakan audit mendapati setakat 31 Dis 2008, seramai tidak kurang daripada 7,010 orang menerima pembiayaan daripada program ini melibatkan perbelanjaan RM153.73 juta iaitu 30.8 peratus daripada peruntukan keseluruhan dan ini menyebabkan sasaran mengikut skim tidak dapat dicapai," menurut laporan itu.

Laporan itu menyebut MOSTI seharusnya mempertingkatkan promosi menjelaskan tentang program ini terutamanya di kalangan pelajar dan pensyarah Institusi Pengajian Tinggi dan pegawai kementerian atau agensi yang terlibat dalam bidang sains dan teknologi.

Bagi masalah Ketidakpatuhan Terhadap Kriteria Kelayakan Skim Latihan Kepakaran Teknikal (LKT), semakan audit terhadap 3,452 penerima biayai mendapati hanya 1,152 penerima pembiayaan terdiri daripada mereka yang memenuhi kriteria ditetapkan.

"Bagaimanapun, sejumlah RM20.10 juta daripada RM68.71 juta yang dibelanjakan pada tahun 2006 dan 2007 di bawah Skim LKT diluluskan oleh kementerian kepada MDeC Sdn Bhd untuk membiayai projek dan menjalankan kursus yang tidak berkaitan dengan skop di bawah skim itu," katanya.

Peruntukan itu digunakan untuk membiayai 2,300 penerima yang terlibat dengan skim itu termasuk kem kerjaya bertujuan membantu graduan menganggur mendapat pekerjaan, membantu syarikat berstatus MSC Malaysia mendapat pekerja, mengadakan kursus Bahasa Inggeris serta kemahiran berkomunikasi kepada pelajar prasiswazah.

Laporan audit menyebut faktor kelemahan dalam kontrak perjanjian wujud disebabkan tidak semua perjanjian mensyaratkan penerima biasiswa mengemukakan keputusan peperiksaan setiap semester kepada kementerian dan tidak semua perjanjian menetapkan penerima biasiswa perlu berkhidmat dengan kerajaan selepas tamat pengajian.

"Akibat ketiadaan syarat mengenai keperluan mengemukakan keputusan peperiksaan setiap semester, menyebabkan 74 penerima biaya bagi Skim PGD di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Mara yang diaudit tidak mengemukakan keputusan peperiksaan kepada kementerian," menurut laporan itu.

Hanya mulai Mac 2009, MOSTI mengarahkan supaya universiti memaklumkan kepada penerima biaya untuk mengemukakan laporan kemajuan penyelidikan dua kali setahun.

Laporan Audit mendapati peruntukan 2007 dan 2008 lewat disalurkan kepada pihak berkenaan sehingga terdapat kes peruntukan hanya disalurkan selepas 10 hingga 119 hari kursus dijalankan dan jabatan atau agensi terlibat terpaksa menggunakan peruntukannya sendiri.

Bagi kegagalan mematuhi syarat perjanjian, semakan audit dijalankan terhadap rekod berhubung 20 penerima Skim Hadiah Biasiswa 'National Science Fellowship' bagi tahun 2006 hingga 2008.

"Pada pandangan audit, kementerian dan IPT perlu mempertingkatkan pemantauan untuk memastikan pelajar yang mendapat biasiswa mematuhi syarat kontrak dan mengenakan ganti rugi terhadap mereka yang ingkar."

Semua syarat penting hendaklah dimasukkan ke dalam perjanjian seperti mengkehendaki penerima biaya mengemukakan keputusan peperiksaan semester atau laporan kemajuan penyelidikan," kata laporan itu.

-- BERNAMA

No comments: