24 June 2009

Bahagian Antarabangsa Di Kementerian Dalam Negeri

PUTRAJAYA, 23 Jun (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri mewujudkan bahagian antarabangsa dan bahagian penyelidikan, pembangunan dan pengawasan, dalam usaha meningkatkan tarafnya setanding dengan tanda aras antarabangsa.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata buat permulaan, dua bahagian itu akan memberi tumpuan kepada jenayah merentasi sempadan iaitu penyeludupan dadah dan manusia, penipuan kad kredit dan pemalsuan pasport.

"Kami telah menubuhkan dua bahagian -- bahagian antarabangsa serta bahagian penyelidikan, pembangunan dan pengawasan -- bagi membantu dan mendapatkan bantuan dari badan kerajaan lain termasuk perwakilan diplomatik kita di luar negara.

"Kami juga sedang mengusahakan persefahaman dengan beberapa negara seperti Australia dan New Zealand bagi menangani penyeludupan dadah dan manusia," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat pada Mesyuarat Ketua-ketua Perwakilan Malaysia di luar negera di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Selasa.

Beliau berkata dua bahagian itu juga diwujudkan bagi menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia serius dalam menangani jenayah merentasi sempadan dan membantu rakyat Malaysia yang menghadapi pelbagai masalah perundangan di luar negara.

"Dua bahagian ini juga diwujudkan bagi kita mematuhi standard antarabangsa dalam memerangi jenayah merentasi sempadan.

"Ini bukan sahaja baik untuk negara tetapi juga akan membantu rakyat Malaysia yang menghadapi masalah ketika berada di luar negara," katanya.

Mengenai pertemuannya dengan perwakilan Malaysia di luar negara, beliau berkata beberapa isu dibangkitkan dan mereka juga memberi input "bernilai" bagaimana Kementerian Dalam Negeri boleh menangani masalah yang timbul dari semasa ke semasa.

"Kami juga bersetuju untuk memberi tumpuan kepada isu yang mencemarkan imej negara di luar negeri. Kita perlu mencari jalan untuk mengatasi persepsi buruk terhadap negara yang direka oleh sesetengah pihak," katanya.

-- BERNAMA

No comments: