24 June 2009

Kurang Kompeten Punca Unit Audit Dalaman IPTA Tidak Berkesan - Ketua Audit Negara

KOTA KINABALU, 23 Jun (Bernama) -- Kurang kemahiran di kalangan petugas di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang mengendalikan hal kewangan, merupakan sebab kenapa Unit Audit Dalaman (UAD) mereka tidak berkesan.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata pengurusan kewangan di IPTA melibatkan banyak kakitangan dan mungkin ada antara mereka yang tidak kompeten dan tidak mengetahui tentang maklumat yang perlu disediakan.

"Punca utama ini adalah manusia sendiri kenapa kita gagal melaksanakan 'check and balance' di IPTA. Sekali pun petugas-petugas ini kompeten, mungkin mereka kurang teliti (semasa menyemak maklumat). Jadi kalau tidak kompeten, macam mana mereka nak menyelia," katanya semasa menyampaikan Syarahan Perdana Ketua Audit Negara Siri Ketiga di Universiti Malaysia Sabah, di sini Selasa.

Katanya IPTA merupakan badan berkanun kerajaan, maka ia perlu mengikut peraturan-peraturan yang diwartakan dan tidak boleh bertindak di luar autoriti mereka.

Ambrin menambah UAD dan jawatankuasa audit IPTA yang berkesan dan berjaya merupakan salah satu elemen kecemerlangan organisasi IPTA.

Beliau berkata unit tersebut perlu proaktif dalam mengenal pasti 'grey areas' di IPTA dan tidak menunggu arahan untuk bertindak di samping meluaskan peranan audit ke bahagian-bahagian lain.

"UAD perlu selalu memeriksa perkara atau kesilapan sebelum berlaku dari bertindak kepada apa yang telah berlaku," katanya.

Katanya keberkesanan UAD boleh dikukuhkan dengan memastikan petugas-petugas mengikuti kursus formal atau tidak formal, atau organisasi universiti itu boleh mendapatkan khidmat nasihat dari syarikat-syarikat perakaunan.

Pihak pentadbiran IPTA juga mesti peka dan perlu membuat pemeriksaan mengejut dari masa ke semasa, atau meminta audit dalamannya membuat laporan, kata beliau.

Ambrin berkata jika didapati salah laku berlaku, IPTA boleh mengamalkan amalan tegur menegur dan ambil tindakan disiplin, dan kakitangan terbabit tidak perlu dibuang kerja.

"Yang penting, IPTA belajar daripada kesilapan yang dilaporkan oleh pihak audit, dan mengambil tindakan untuk memperbaiki keadaan.

"Pastikan pengurusan kewangan aktiviti cemerlang agar tidak ada pemborosan dan penyelewengan, dan IPTA perlu letakkan sasaran realistik dan boleh dilaksanakan," jelas beliau.

Ambrin berkata dengan kawalan dalaman yang kukuh dan modal insan yang seimbang, maka pembudayaan integriti dan akauntabiliti akan terjadi secara semula jadi.

Menjawab soalan hadirin mengenai tanggungjawab pihak atasan IPTA yang mungkin sibuk dengan kajian dan penyelidikan akademik lalu kurang memberi tumpuan kepada aktiviti audit dalaman, beliau berkata ini terserah kepada kebijaksanaan Naib Canselor dalam mengatasinya asalkan pemantauan dan maklum balas berterusan dijalankan.

Ambrin juga berkata setakat ini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara belum pernah memanggil mana-mana IPTA mengenai masalah pengurusan kewangan mereka.

-- BERNAMA

No comments: