18 November 2008

MMEA Akan Jadi Agensi Penguatkuasaaan Maritim Tunggal Tidak Lama Lagi

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MMEA) akan mengambil alih semua tugas penguatkuasaan agensi maritim lain untuk menjadi agensi penguatkuasaan undang-undang maritim tunggal di negara ini tidak lama lagi.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar berkata agensi yang ditubuhkan pada 2006 itu akan mengambil alih semua tugas berkenaan secara beransur-ansur.

"Walaupun MMEA kini bekerjasama dengan agensi berkaitan maritim lain seperti Polis Marin, Jabatan Perikanan, Kastam dan TLDM, ia akan bertindak sendiri tidak lama lagi dalam tugas berkaitan penguatkuasaan maritim," katanya.

Abdul Aziz berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan pembukaan pada Siri Syarahan Panglima Tentera Laut Asia Pasifik anjuran Institut Maritim Malaysia di sini, Selasa.

Dalam syarahannya, Abdul Aziz memperkatakan mengenai peranan TLDM dalam memelihara keselamatan maritim serantau dan menegaskan tentang perlunya negara anggota Asean dan negara di rantau Asia Pasifik terus bekerjasama dalam bidang pertahanan.

Beliau juga menegaskan tentang perlunya langkah pembinaan keyakinan dilaksana bagi mengurangkan potensi wujudnya kesan yang boleh menjejaskan kestabilan akibat pembinaan kekuatan maritim.

Ditanya mengenai perancangan TLDM, termasuk pemerolehan aset bagi meningkatkan keupayaannya, Abdul Aziz berkata TLDM sedang menimbang untuk mendapatkan kapal selam pelbagai fungsi.

"Kapal perang jenis ini amat diperlukan kerana ia boleh membantu tentera laut dalam membanteras kegiatan merampas kapal oleh lanun. Kami mendapat banyak pengajaran daripada kes rampasan kapal sebelum ini. Bagaimanapun, kami perlukan bajet besar bagi tujuan ini.

"Peperangan terhadap keganasan, lanun, penghapusan sumber perikanan, pemusnahan alam sekitar dan kegiatan haram di laut, kini semakin mencabar," katanya.

-- BERNAMA

No comments: